GAMBAR Dr Mahathir Mohamad dipotong dari papan iklan gergasi yang dipasang di Ayer Hitam hari ini dan disaksikan sendiri calon Pakatan Harapan (PH) Liew Chin Tong.
Video selama 11 minit itu dipos di laman Facebook Liew Chin Tong, menunjukkan beliau cuba berunding dengan pegawai penguat kuasa yang tidak dikenali di hadapan papan iklan yang terletak di Jalan Utama 1 di Yong Peng.
“Saya tak boleh terima. Saya tak terima keputusan ini. Saya rasa keputusan (Suruhanjaya Pilihan Raya) tidak berasas,” Liew dilihat memberitahu pegawai tersebut. Beberapa individu yang mengiringi Liew, memakai kemeja PH juga kelihatan.
Pegawai terbabit maklum akan protes Liew itu dan mengarahkan pegawai penguatkuasa lain memotong gambar Dr Mahathir yang terletak di antara gambar Liew dan calon Yong Peng, Chew Pek Choo.
Tindakan ini susulan peraturan baharu SPR iaitu bahan kempen hanya perlu memaparkan calon kerusi dan presiden parti serta timbalan presiden parti calon - peraturan yang menurut pengkritik ditujukan untuk menyekat pengaruh Dr Mahathir.
Semalam, satu lagi papan iklan Liew yang memaparkan calon lawannya, iaitu penyandang kerusi Ayer Hitam Wee Ka Siong, perdana menteri sementara Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor menerima nasib sama apabila gambar Rosmah dipotong. Papan iklan itu menyatakan undi untuk Wee adalah undi untuk Najib dan Rosmah. – 30 April, 2018.
Komen