Ahli Parlimen jangan guna perkataan menyakitkan hati, kata speaker


Ravin Palanisamy

YANG Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul menegur ahli Parlimen supaya tidak menggunakan perkataan sensitif yang boleh menyakitkan hati orang lain ketika bercakap di dalam Dewan.

Antara lain, beliau berkata henti menggunakan perkataan seperti “kafir”, “zionis” dan “yahudi” bagi merujuk mana-mana ahli Parlimen sepanjang perbahasan di Dewan Rakyat.

“Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) jelas menyatakan ahli Parlimen tidak boleh menggunakan perkataan menimbulkan perasaan sakit hati atau bermusuhan antara kaum di Malaysia.

“Saya menyeru semua menghentikan isu dan penyataan ‘kafir’, ‘zionis’, ‘yahudi’ dan lain-lain perkataan sama maksudnya antara ahli Yang Berhormat yang mengeruhkan suasana serta menyentuh sensitiviti keharmonian, apatah lagi ketika ini suasana sangat tidak kondusif.

“Padamkanlah isu panas yang berlaku pada minggu lalu. Biarkanlah perbahasan ahli Yang Berhormat berlandaskan isu demi membela nasib rakyat di luar sana,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian susulan perkataan berkenaan digunakan ketika perbahasan di Dewan minggu lalu.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan membuat usul untuk merujuk Ahli Parlimen Pengkalan Chepa daripada PAS Ahmad Marzuk Shaary kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berikutan kenyataan di Dewan Rakyat yang melabelkan ahli Parlimen DAP sebagai “kafir”.

Syahredzan berkata ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu boleh dianggap sebagai penghinaan kepada wakil rakyat dan Muslim seperti dirinya.

Johari berkata beliau tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan sekiranya isu dan perkataan dimaksudkan itu dibangkitkan lagi pada masa hadapan.

“Tugas saya memastikan kelancaran pada persidangan Parlimen menggunakan peraturan yang jelas dinyatakan.

“Pada hari ini, saya mengajak ahli Yang Berhormat membuka lembaran baharu.

“Saya menyeru semua menghentikan isu dan penyataan ‘kafir’, ‘zionis’, ‘yahudi’ dan lain-lain perkataan sama maksudnya antara ahli Yang Berhormat yang mengeruhkan suasana serta menyentuh sensitiviti keharmonian, apatah lagi ketika ini suasana sangat tidak kondusif.

Beliau mengingatkan Ahli Parlimen supaya tidak membangkitkan isu peribadi yang dibangkitkan atau dilaporkan di luar Dewan Rakyat.

“Saya memberi peringatan kepada ahli Yang Berhormat isu peribadi yang dibangkitkan dan dilaporkan di luar Dewan (Rakyat), hendaklah jangan dibawa dan diungkit di dalam Dewan.

“Isu peribadi yang dibangkitkan atau dilaporkan di luar Dewan (Rakyat), hendaklah diselesaikan di luar Dewan,” katanya. – 23 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen