PENGERUSI Barisan Nasional (BN) negeri Mohamed Khaled Nordin memberi jaminan harga Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) akan kekal sekiranya parti itu diberi mandat sekali lagi untuk mentadbir negeri itu.
Khaled berkata, harga unit RMMJ antara RM80,000 hingga RM150,000 pada masa ini ditetapkan dengan “memaksa” pemaju untuk akur terhadap dasar tersebut.
“Kalau sambung kerajaan ini harga rumah mampu milik Johor tidak akan dinaikkan. Malah kita akan hebatkan lagi, lagi pesat pembangunannya lagi banyak rumah mampu milik kita nak sediakan untuk rakyat Johor.
“Antara pendekatan strategik kerajaan Johor kita paksa pemaju, dan kita tidak takut untuk paksa pemaju bagi melaksanakan rumah mampu milik Johor,” kata Khaled, ketika merasmikan upacara pecah tanah rumah mampu milik di Taman Pulai Mutiara, di Iskandar Puteri, hari ini.
Khaled yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang berkata, pengundi perlu memastikan BN menang lebih besar dan kuat untuk memastikan dasar itu dipatuhi.
“Pastikan semua kerusi BN menang baru kita kuat, baru orang hormat jadi tiada paksa rela semua sukarela patuh dasar kerajaan,” katanya.
Menteri besar sementara itu berkata, antara paksaan yang dilakukan terhadap pemaju adalah dengan membekukan projek mereka sekiranya enggan membina rumah mampu milik.
“Kalau pemaju tidak bina kita bekukan pembangunan lain, kita juga panggil mereka untuk berunding serah tanah, itu tidak termasuk denda,” tambahnya lagi.
Khaled berkata, untuk membina lebih banyak rumah mampu milik, kerajaan negeri Johor juga sedang melaksanakan pengambilalihan semula tanah.
“Kita akan lakukan pengambilan balik semula tanah di Johor untuk pastikan sasaran kita tercapai. Kita sudah lakukan proses pengambilan balik 300 ekar di seluruh daerah dengan kerajaan negeri keluar belanja sebanyak RM107 juta.
“Kalau kerajaan BN dikembalikan melalui sokongan kepada calon, kita akan banyakkan lagi ambil tanah untuk bina rumah mampu dimiliki rakyat di Johor hari ini,” kata Khaled lagi. – 30 April, 2018.
Komen