KEPUTUSAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya pada hari Rabu, iaitu hari bekerja di pertengahan minggu merugikan Barisan Nasional (BN), kata satu kajian.
Kajian oleh pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali dan rakan-rakannya mendapati, penyokong pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) dan PAS tetap akan pulang mengundi walaupun pada hari bekerja.
Menurutnya, pengundi tersebut tetap akan pulang menunaikan tanggungjawab, antara lainnya kerana marah kepada SPR yang menetapkan pengundian pada hari bekerja.
“Dari 384 respondan yang kami buat kajian di Lembah Klang, 77% dari mereka akan tetap mahu pulang mengundi. Kebanyakan mereka marah kepada SPR dan BN kerana menetapkan undi hari bekerja dan bertekad mahu pulang mengundi pembangkang.
“Manakala 23% lagi tidak memberikan penegasan untuk pulang mengundi dan kebanyakan mereka adalah anak muda dan mereka yang belum tentu mahu mengundi siapa atau istilahnya pengundi atas pagar.
“Pengundi ini biasanya cenderung untuk mengundi parti kerajaan iaitu BN,” kata Dr Mazlan yang menambah lebih 70% pengundi luar yang membuat pilihan berdasarkan isu ini telah mengundi PAS di Terengganu.
“Kajian dari rakan-rakan saya yang lain juga mendapati pengundi luarlah yang menyelamatkan kerajaan PAS Kelantan tahun 2004 apabila gelombang biru Pak Lah menguasai pilihan raya tersebut,” katanya.
Kajian juga mendapati kerajaan PAS Kelantan mendapat keputusan cemerlang pada PRU 2008 dan 2013 juga disebabkan besarnya sumbangan pengundi luar ini, katanya.
Dr Mazlan berkata kajian itu dibuat pada pertengahan bulan ini selepas SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian. – 30 April, 2018.
Komen