NAIB presiden PKR Tian Chua memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana membatalkannya daripada bertanding bagi kerusi Parlimen Batu berikutan saman berjumlah RM2,000 yang dikenakan mahkamah terhadapnya.
Pegawai pengurus pilihan raya Anwar Mohd Zain dan SPR dinamakan sebagai responden.
Peguamnya, Ngeow Chow Ying, memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi mencabar keputusan yang dibuat oleh pegawai pilihan raya berkenaan untuk menghalangnya pada hari penamaan calon Sabtu lalu.
Tian Chua memohon pengisytiharan mahkamah bahawa beliau layak mempertahankan kerusi Batu, yang dipertahankannya sejak 2008.
Ahli Parlimen PKR itu memetik Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan hilang kelayakan hanya berlaku apabila denda tidak kurang daripada RM2,000.
Tian Chua hilang kelayakan bertanding pada pilihan raya atas alasan denda sebanyak RM2,000 yang dikenakan ke atasnya pada 2 Mac oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Mahkamah telah memutuskan bahawa Tian Chua disabitkan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas pertuduhan mengeluarkan perkataan kesat yang boleh mengaibkan seorang pegawai polis, empat tahun lalu.
Pada 9 Mac tahun lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mendenda Tian Chua RM3,000 selepas beliau didapati bersalah atas tuduhan itu
Dengan itu, kerusi Parlimen Batu ditandingi oleh naib presiden Gerakan Dominic Lau, ketua PAS Batu Azhar Yahya dan calon bebas P. Prabakaran dan Panjamorthy Muthusamy. – 30 April, 2018.
Komen