MCA sedia bergerak solo sekiranya ditinggalkan dalam BN, kata Wee


Wee Ka Siong mengakui perubahan landskap politik selepas PRU15 turut mengubah dinamik antara komponen BN. – Gambar Facebook MCA, 22 Oktober, 2023.

MCA sedia bergerak sendiri sekiranya mana-mana parti dalam Barisan Nasional (BN) berhasrat membentuk pakatan baharu dan meninggalkan rakan komponennya sekarang, kata presidennya Wee Ka Siong.

Wee berkata MCA juga bersedia kalau itu bermakna ia terpaksa meneroka semula jalan politiknya.

“Apa yang paling penting, MCA mesti menegaskan ia sebuah parti politik dan bukannya badan kebajikan,” katanya, seperti dipetik The Star.

Wee berucap pada perhimpunan agung tahunan parti ke-70 di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, Wee mengingatkan ahli parti supaya berpegang kepada petunjuk politik yang digariskan oleh pengasas parti Tan Cheng Lock, ketika MCA pada masa itu diubah daripada badan kebajikan kepada parti politik.

Wee memetik kata-kata Tan pada masa itu yang menegaskan, sekiranya MCA mahu kekal jadi badan kebajikan, beliau tidak lagi mahu bersama MCA kerana pertubuhan itu adalah parti politik.

“Itulah pegangan leluhur kita yang tidak harus kita abaikan,” kata Wee.

Dalam ucapannya, Wee juga mengakui perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang turut mengubah dinamik antara komponen BN.

Perubahan itu, katanya, mencabar semangat konsensus dalam BN.

Selepas PRU15, BN membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi kerajaan di Putrajaya dan di beberapa negeri.

Kerjasama itu diteruskan dalam enam pilihan raya negeri sembilan bulan kemudian. MCA bagaimanapun tidak bertanding satu kerusi pun.

Sementara itu, menuju PRU16, Wee berkata MCA tidak lagi boleh terus jadi parti sekutu yang nasibnya ditentukan oleh parti lain.

MCA juga terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik yang sealiran dengannya. – 22 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen