Saya kalah tetapi terus berkhidmat, kata Raja Nong Chik


The Malaysian Insight

CALON Barisan Nasional (BN) bagi Lembah Pantai, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, bukanlah penyandang kerusi Parlimen tetapi nampaknya mempunyai kelebihan berbanding lawan daripada PKR dan PAS.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ini tidak pernah menjadi wakil rakyat – beliau menjadi menteri dengan cara pelantikan sebagai senator – tetapi berjaya menjadikan kehadirannya dirasai di Lembah Pantai walaupun kalah pada pertandingan pertamanya untuk kerusi itu pada 2013. Pengundi di sini mengakui usahanya mendekati penduduk dengan mengagihkan bantuan dan bekalan.

Pada PRU13, beliau kalah kepada PKR Nurul Izzah Anwar yang kali pertama memenangi kerusi itu pada 2008. Nurul Izzah kini bertanding di Permatang Pauh dan Raja Nong Chik menggunakannya untuk mengalahkan lawannya, Fahmi Fadzil, di Lembah Pantai.

“Mengapa pengundi perlu memilih PKR? Mereka adalah ahli Parlimen untuk dua penggal, dipilih oleh pengundi Lembah Pantai, tetapi beliau kini melarikan diri ke Pulau Pinang.

“Sementara pihak yang kalau, iaitu saya, terus berkhidmat di kawasan itu. Saya tidak pernah berputus asa. Beliau menang, menyerah kalah dan lupa tentang Lembah Pantai. Saya tewas tetapi saya masih terus berkhidmat,” katanya kepada Malaysia Decides.

Ditanya apa yang dirasakannya sebagai masalah paling penting di negara ini, Raja Nong Chik, 65, berkata ia adalah kemiskinan, perumahan dan pendidikan.

Tetapi secara keseluruhan, beliau berkata negara itu “berada di landasan yang betul kerana Perdana Menteri (Najib Razak) melakukan yang terbaik”.

“Pembangkang cuba menunjukkan semua yang negatif mengenai Najib tetapi berdasarkan rekod beliaulah yang paling bekerja keras. Beliau turun ke bawah paling banyak dan beliau menangani isu berprofil tinggi dan kecil.”

Jika dipilih sebagai ahli Parlimen persekutuan, Raja Nong Chik berkata beliau akan berjuang untuk kesejahteraan yang lebih baik dan penyelenggaraan perumahan kos rendah dan sederhana, yang banyak terdapat di Lembah Pantai.

“Penyelenggaraan rumah kos rendah dan sederhana masih menjadi masalah besar. Dari segi pembangunan, ia mesti seimbang di Lembah Pantai kerana terdapat aduan daripada orang ramai mengenai pembangunan tidak terkawal di beberapa kawasan.” – 30 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen