Kerjasama PH, BN di Negeri Sembilan boleh dicontohi negeri lain, kata Loke


Ravin Palanisamy

Kejayaan kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Negeri Sembilan boleh dicontohi negeri lain, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2023.

KEJAYAAN kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terbukti dengan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri Sembilan diadakan Ogos lalu, kata Anthony Loke.

Memetik keputusan PRN itu, setiausaha agung DAP itu berkata kerjasama itu pastinya boleh diulangi dan dicontohi negeri lain.

“Pada pilihan raya negeri diadakan 12 Ogos lalu, kita sekali lagi berjaya membentuk kerajaan negeri,” katanya pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan ke-22.

“Kejayaan kali ini adalah disebabkan kerjasama PH dan BN di mana model kerjasama antara PH dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 dilanjutkan bagi memenangi Negeri Sembilan.

“Malah kerjasama antara BN dan PH ini boleh dikatakan paling berjaya di Negeri Sembilan daripada aspek keputusan, di mana daripada 36 kerusi, BN dan PH menang 31 kerusi.

“Ini adalah rekod pencapaian yang kita boleh banggakan dan kita boleh tunjuk yang model kerjasama ini boleh menjadi contoh kepada negeri lain di seluruh negara,” tambah Loke yang juga menteri pengangkutan itu.

PRN yang diadakan di enam negeri -Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu- pada Ogos lalu menyaksikan pengekalan status quo pentadbiran.

Gabungan perpaduan PH dan BN kekal berkuasa di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala Perikatan Nasional (PN) terus mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Di Negeri Sembilan, PH dan BN menang besar dan berjaya membentuk majoriti dua per tiga kerajaan negeri. PH menang 17 kerusi manakala BN meraih 14 kerusi.

Susulan itu, Amirudin Harun dilantik sebagai menteri besar untuk penggal kedua.

Loke turut mengucapkan tahniah kepada Amirudin.

“Ini (pelantikannya sebagai menteri besar) adalah penghargaan kepada sumbangannya menerajui kerajaan negeri,” katanya.

Amirudin turut hadir di konvensyen itu. – 22 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen