Kumpulan pelajar UM terus bersama bekas presiden, minta sokongan kempen jana derma


Ravin Palanisamy

Bekas presiden Umany Wong Yan Ke sedang merayu keputusan kes hina naib canselor UM di mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2023.

PERSATUAN Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) meminta rakyat Malaysia untuk menyokong kempen jana derma bekas presidennya Wong Yan Ke yang sedang membuat rayuan ke atas penghakiman terbaru Mahkamah Majistret yang tidak memihak kepadanya.

Dalam kenyataan hari ini, Umany berkata badan pelajar dan organisasi lain yang menyokongnya terus menyokong Wong dan kempen derma dilaksanakannya.

“Walaupun Wong sudah membayar denda, dia memutuskan untuk merayu kepada Mahkamah Tinggi kerana saman tersebut bukan sahaja melibatkan kebebasan peribadinya tetapi juga kebebasan bersuara mahasiswa di kampus dan masa depan rakyat Malaysia.

“Umany dan organisasi memihaknya percaya yang selaku warga Malaysia kita perlu aktif menyokong dan bersama-sama pejuang yang berani mempertahankan demokrasi negara, kebebasan dan pluralisme sekular tetapi menerima layanan tidak adil daripada mereka yang berkuasa.

“Disebabkan itu, kami menggesa semua orang untuk menyokong kempen jana derma dimulakan Wong untuk kesnya dan menyokong pejuang ini yang sangat berani mempertahankan kebenaran,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Umany meminta sesiapa yang mahu menderma untuk melayari laman web ini: https://www.givinghub.asia/campaigns/yan-ke

Pada 9 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendapati Wong bersalah menghina naib canselor UM dengan melakukan protes ketika majlis konvokesyen pada 2019. Dia tamat pengajian di UM dengan ijazah kejuruteraan awam. 

Dia didenda RM5,000 selepas gagal mewujudkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wong dituduh menghina Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim dan hadirin majlis apabila menimbulkan kemarahan mereka dengan membawa plakad protes di pentas menuntut Rahim meletak jawatan.Dia kemudiannya didakwa pada Februari 2020. 

Dalam penghakiman, Majistret Illi Marisqa Khalizan berkata mahkamah tidak bersetuju dengan alasan diberikan Wong yang dia tidak mempunyai cara lain meluahkan pandangannya. – 22 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen