Pencalonan Nik Omar logo halal untuk Amanah, kata penganalisis


The Malaysian Insight

PENGANALISIS menjangka penyertaan anak bekas mursyidul am PAS yang popular, Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai calon Pakatan Harapan (PH) akan memberi kelebihan besar kepada gabungan parti pembangkang itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pencalonan Nik Omar itu malah dianggap menimbulkan gelombang baru dalam politik Malaysia terutama di kalangan pengundi yang cenderung kepada Islam.

“Penyertaan Nik Omar seolah-olah meletakkan logo halal kepada PH dan Amanah,” kata Dr Mazlan Ali, pensyarah kanan sekolah perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bagi beliau, PH kini berjaya menggabung dua gelombang iaitu yang dihasilkan oleh Dr Mahathir Mohamad dan Nik Omar.

“Kalau Dr Mahathir hasilkan gelombang di kalangan Melayu luar bandar yang menyokong Umno selama ini, Nik Omar telah melahirkan gelombang baru kepada pengundi yang menyokong PAS selama ini.

“Sebab itu, apabila Nik Omar menjadi calon PH di Chempaka, pemimpin dan cybertrooper PAS paling marah,” kata penganalisis politik itu.

Berdasarkan kajian beliau terhadap trend di media sosial, Dr Mazlan mendapati, ramai pengundi yang selama ini mengundi atas kepentingan Islam mula memberikan keyakinan kepada Amanah dan PH dengan penyertaan Nik Omar.

Katanya, penyertaan Nik Omar menghakis keraguan pengundi pro-Islam yang masih was-was sama ada Amanah merupakan parti Islam.

“Penyertaan beliau berjaya memecahkan doktrin yang hanya PAS parti Islam dan mereka mula fikir undi PH ini tidak ada masalah,” kata pengkaji politik UTM itu.

Oleh itu, beliau yakin penyertaan Nik Omar memberikan impak besar kepada politik orang Melayu yang selama ini pro-Islam.

“Bagi saya ini satu kejayaan besar Husam Musa dalam karier politiknya khasnya di Kelantan,” katanya, mengulas usaha pengerusi PH Kelantan itu untuk membawa Nik Omar menjadi calon PH.

Nik Omar membuat kejutan apabila hadir ke pusat penamaan calon dan dinamakan sebagai calon PH untuk kerusi DUN Chempaka yang sebelum ini diwakili Allahyarham bapanya, Nik Abdul Aziz Nik Mat. – 30 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen