Slogan PAS 'lok koho punoh' bidas kegagalan projek BN Terengganu


The Malaysian Insight

“LOK koho punoh”. Ini adalah slogan terkini PAS dalam usaha menawan semula Terengganu daripada Barisan Nasional (BN), menggambarkan bagaimana gabungan pemerintah itu didakwa menyalahgunakan dana awam terhadap projek mega yang gagal.

Dalam dialek Terengganu, “lok koho punoh” bermakna perkara akan bertambah buruk jika status quo terus kekal.

Menurut Ahli Parlimen PAS Terengganu Hishammuddin Abdul Karim, jika pengundi membiarkan Terengganu dalam tangan BN, keadaan akan menjadi lebih buruk.

Ungkapan itu, yang terpampang pada baju-T penyokong PAS, adalah menempelak slogan BN Terengganu BN “Terengganu molek doh”.

Ia bererti keadaan di negeri ini sudah baik dan tidak ada keperluan untuk mengubah kerajaan.

Slogan PAS sepatutnya memfokuskan semula perhatian pengundi terhadap beberapa projek mega yang gagal, kata Hishammuddin.

Dalam ceramah baru-baru ini di Tepuh, Hishammuddin menyentuh mengenai stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bernilai RM160 juta yang bumbungnya runtuh pada 2009.

Selepas bumbung dibaiki, padang bola dipenuhi air akibat dilanda banjir.

“Secara keseluruhan, kerajaan negeri terpaksa membelanjakan lebih RM360 juta untuk membina dan membaiki stadium itu. Harga asalnya kira-kira RM160 juta,” kata Hishammuddin yang bertanding bagi mengekalkan kerusi DUN Tepuh.

Satu lagi pembaziran dana, katanya, termasuk taman tamadun Islam dan taman ilmu.

“Zon perdagangan bebas Tasik Kenyir adalah satu lagi masalah dan penyelesaiannya tertangguh sekurang-kurangnya tujuh kali. Saya berulang kali meminta kajian kebolehlaksanaan projek ini untuk melihat sama ada ia berdaya maju.”

Skandal terkini yang dimaksudkan adalah projek bas amfibia, yang senyap sejak menteri besar sementara Ahmad Razif Abdul Rahman membawanya untuk dipandu uji.

Bas itu gagal dalam perjalanan pertamanya apabila terhenti dan rosak tengah-tengah Sungai Terengganu. – 30 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen