TINDAKAN Dr Mahathir Mohamad bertanding di kerusi Parlimen Langkawi mengangkat pulau itu kembali “ke peta dunia”, kata seorang penganalisis antarabangsa yang mahir tentang Malaysia.
Penganalisis Asia Tenggara Prof Bridget Welsh daripada John Cabot University, Itali berkata ini memberikan kelebihan kepada pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Kerana pengundi Langkawi tahu pertarungan ini adalah tentang kuasa di peringkat nasional dan Tun berjaya membawa Langkawi kembali ke peta dunia dengan bertanding di sini.
“Dan rakyat Langkawi merasa bangga dengan itu dan ini memberikan kelebihan kepada Tun,” kata Welsh kepada Malaysia Decides, merujuk kepada gelaran Dr Mahathir ketika ditemui di Langkawi.
Dr Mahathir berdepan dengan pertembungan tiga penjuru pada 9 Mei ini melawan calon Barisan Nasional (BN) Nawawi Ahmad dan calon PAS Zubir Ahmad.
Pada PRU13, Nawawi menewaskan calon PKR Ahmad Abdullah dengan majoriti 11,861 undi.
Welsh berkata, walaupun BN menang pada PRU13 dengan majoriti besar, ia tidak memberikan masalah kepada Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.
“Calon BN lemah, beliau tidak popular di banyak tempat di Langkawi dan isu nasional memberikan kesan di sini. Kelembapan ekonomi menyebabkan sukar untuk hidup di Langkawi.
“Terutama apabila imej Malaysia di peringkat antarabangsa hari ini tidak begitu baik, sukar untuk penduduk Langkawi mengharapkan lebih banyak pelancong akan datang dan sekaligus memperbaiki keadaan ekonomi,” katanya.
Welsh bagaimanapun berkata, Dr Mahathir masih perlu memberikan tumpuan kepada kerusi Langkawi sepanjang tempoh berkempen dan berhati-hati dengan “pengundi baharu pintu belakang” untuk menang pada PRU14. – 30 April, 2018.
Komen