DI tengah-tengah perpecahan politik dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Malaysia Decides memfokuskan apa yang diperjuangkan oleh calon Parlimen dan apakah masalah negara yang paling mendesak bagi mereka. Kami bertanyakan lima soalan mengenai peranan mereka sebagai ahli Parlimen sekiranya dipilih.
Karier sebagai Ahli Parlimen Mukhriz Mahathir bermula apabila memenangi kerusi Parlimen Jerlun pada pilihan raya umum 2008, mengalahkan calon PAS Idris Ahmad dengan 2,205 undi. Pengerusi Pakatan Harapan Kedah itu kini cuba memenangi kerusi itu daripada pendahulunya Othman Aziz.
S: Apakah yang akan saudara perjuangkan di Parlimen?
MUKHRIZ: Kawasan ini merupakan kawasan pertanian jadi terdapat keperluan membabitkan padi, dan dalam masa yang sama terdapat isu lain seperti perumahan dan peluang pekerjaan.
Kita mungkin sama seperti di Kubang Pasu tetapi tahap pembangunan antara dua kawasan Parlimen dalam daerah Kubang Pasu ini sangat berbeza. Kubang Pasu sendiri memiliki universiti dan apa yang kita boleh lihat Jerlun juga seperti ini. Saya berharap dua kawasan ini lebih seimbang.
S: Apakah tiga masalah utama yang melanda negara?
MUKHRIZ: Tadbir urus kerana apabila tadbir urus di peringkat atasan gagal, dasar yang dibawa oleh kerajaan tidak semua akan mempertimbangkan keperluan rakyat, tambahan pula kamu dikenakan GST serta masalah rasuah.
Ketirisan perbelanjaan oleh kerajaan dalam projek yang tidak memberi faedah kepada rakyat dan rakyat mempunyai keperluan spesifik yang masih gagal dicapai oleh kerajaan.
Saya rasa semua perkara penting ini perlu diberi penekanan oleh kerajaan baharu.
S: Apa penyelesaiannya?
MUKHRIZ: Ubah kerajaan, itu yang pertama. Saya tidak dapat lihat perubahan dengan kerajaan lama.
S: Mengikut pandangan saudara, bagaimana keadaan negara kita pada masa ini?
MUKHRIZ: BN kini dalam penafian, mereka percaya apa yang mereka nak tetapi apa yang perlu dilakukan adalah bercakap dengan rakyat biasa dan tanya mereka sekiranya keadaan lebih baik sekarang atau lima tahun dahulu atau sepuluh tahun dahulu dan mereka akan beritahu bahawa keadaan kini amat sukar.
Sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini, bahawa kamu mungkin berpendapatan rendah tetapi masih boleh meneruskan hidup, harga ikan tidak seperti sekarang dan kita masih boleh hantar anak ke sekolah. Terdapat subsidi yang dinikmati mereka dan kini semua itu sudah dirampas dari kita, saya rasa semua orang rasa terbeban.
Kerajaan BN boleh kata apa yang mereka mahu, rakyat sama sekali tidak setuju dengan mereka.
S: Kenapa pengundi perlu pilih saudara?
MUKHRIZ: Saya rasa mereka perlukan seseorang yang mengambil berat isu yang dihadapi di Jerlun dan Kedah secara umumnya dan ia perlu dibahaskan di Parlimen, jadi kita boleh memberi kesan perubahan di peringkat kerajaan dengan harapan dasar yang dibawa oleh kerajaan baharu akan memberi faedah kepada rayat secara langsung, termasuk di Jerlun.
Jadi sekarang sebagaimana yang kita dapat lihat, kamu mempunyai timbalan menteri kewangan, kamu dapati beliau mempertahankan GST, apabila rakyat tanya apa itu GST, beliau kata GST baik untuk kita.
Apabila kita mengadu tentang 6% beliau kata ia sebenarnya sangat rendah jadi kita khuatir sekiranya BN masih menang pada PRRU14, bukan hanya GST diteruskan malah ia mungkin akan meningkat. – 30 April, 2018.
Komen