Pengundi luar bandar Kedah tolak BN kerana isu 1MDB, derma RM2.6 bilion


The Malaysian Insight

ISU penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion dalam akaun perdana menteri selama ini dianggap isu asing di kalangan pengundi luar bandar, namun kini perkara itu ternyata menjadi kebimbangan utama mereka.

Rata-rata pengundi di DUN Derga, Kedah yang ditinjau Malaysia Decides berkata kes penyelewengan berkenaan menyebabkan mereka tidak berbelah bagi untuk menyokong Pakatan Harapan (PH).

Salah seorang pengundi di kawasan dikuasai DAP itu ialah Rosdi Yusof, 55, berkata beliau hilang keyakinan tehadap kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana isu berkenaan.

“Sebab kita boleh nampak (dalam) isu 1MDB, dana RM2.6 bilion, kerajaan BN tidak pernah beri penjelasan yang konkrit, mereka lebih banyak berdalih. Dan lagi banyak mereka berdalih, tutup kes sana sini, jadi dari situ kita tak percaya kerajaan,” katanya kepada Malaysia Decides.

Rosdi antara ribuan penduduk tempatan yang hadir dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) di Taman Derga Jaya Alor Setar, Kedah malam tadi. 

Ceramah tersebut menampilkan barisan pemimpin PH termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, dan penyandang kerusi DUN Derga Tan Kok Yew. 

Tan merampas kerusi tersebut dari BN dengan kemenangan tipis lebih 1,000 undi dalam pilihan raya umum lalu. Majoriti pengundinya daripada golongan Melayu sebanyak 56% namun dengan jumlah pengundi Cina agak besar, 39%.

Seorang lagi pengundi, Abdullah Muhammad, 72, berkata beliau bimbang isu kos sara hidup akan terus membelenggu rakyat jika kerajaan tidak bertukar dalam pilihan raya kali ini.

“Saya kena ubah, sebab kalau tak tukar kita takut (harga) barang akan terus naik, dan rakyat akan terbeban.”

Sementara itu Rizal Ismail, 37, seorang kakitangan kerajaan pula mengakui isu penyelewengan berkenaan menyebabkan beliau tidak kisah memberi peluang kepada PH.

“Saya tertarik dengan PH kerana mereka ingin memperjuangkan negara kita (agar bebas) daripada rasuah. Jadi apa salahnya bagi peluang?” – 30 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen