Rakyat Pulau Pinang kini mula menerima BN, kata Teng 


The Malaysian Insight

PERSEPSI rakyat terhadap Barisan Nasional Pulau Pinang hari ini tidak lagi senegatif dulu, kata pengerusinya Teng Chang Yeow.

Sebelum ini katanya, lapan daripada 10 orang yang ditemuinya untuk bersalaman langsung tidak mengendahkannya.

“Kini, hanya satu daripada 10 akan cuba mengelak,” kata pengerusi Gerakan negeri itu yang bertanding di kerusi DUN Tanjung Bungah menentang calon Pakatan Harapan, Malaysian United Party dan Parti Rakyat Malaysia pada pilihan raya umum kali ini.

“Ini adalah sifat manusia. DAP sudah menerajui kerajaan negeri selama 10 tahun. Ia masih tidak memenuhi janji dan rakyat semakin tidak gembira dengan beberapa dasarnya,” katanya.

Di kawasan Tanjung Bungah, yang menjadi harapan kepada Teng untuk kembali ke sidang DUN, sesetengah penduduknya tidak gembira. Kawasan yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan kejiranan mewah dengan banyak projek pembinaan di kawasan tanah tinggi membangkitkan kemarahan rakyat, yang mahu pembangunan di lereng bukit dihentikan.

Teng, 54 yang merupakan bekas exco kerajaan negeri menguruskan pembangunan pelancongan dan merangka formula dasar alam sekitar serta pelaksanaannya sebelum Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang pada 2008, berkata masalah kesesakan lalu lintas dan isu alam sekitar di Tanjung Bungah kini menjadi masalah utama.

“Untuk menyelesaikan masalah kesesakan di Tanjung Bungah, kita perlu pelan penyuraian. Kita perlu tahu di mana kawasan utama dan kemudian cari jalan penyelesaian,” katanya dan menambah mewujudkan penyuraian trafik merupakan sebahagian daripada manifesto BN Pulau Pinang dan manifestonya di kawasan itu.

“Bagi masalah alam sekitar, kita (BN) akan buat yang terbaik. Ada di antara kita telah berdepan dengan tindakan undang-undang kerana membangkitkan beberapa isu, namun sekiranya kami dipilih, ia akan berubah.

“Kita akan bangkitka isu ni pada sidang DUN dan memastikan kerajaan negeri tidak mengelak daripada menjawab persoalan. Mereka hanya berdiam diri apabila isu ini dibangkitkan oleh bekas wakil rakyat Teh Yee Cheu sebelum ini,” kata Teng.

Teh, yang merupakan bekas ahli DAP, memenangi kerusi Tanjung Bungah dengan 5,515 undi pada 2013. Kerusi dalam Parlimen Bukit Bendera itu mempunyai 21,768 pengundi yang terdiri daripada 60.35% masyarakat Cina, 26.44% Melayu, 11.48% India dan 1.73% lain-lain pada pilihan raya kali ini. – 30 April, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen