Syarikat pengendali kapal terbang nafi pesawat Dr Mahathir disabotaj


The Malaysian Insight

SEBUAH syarikat pengendali kapal terbang persendirian mengatakan tiada bukti menunjukkan pesawat yang disewa Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat disabotaj, lapor The Star.

Kenyataan VistaJet International itu selari dengan penjelasan dibuat Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada Sabtu yang turut menafikan pesawat disewa bekas perdana menteri itu disabotaj.

VistaJet International juga mengesahkan masalah teknikal dialami pesawat itu dikesan sebelum perlepasan dan tidak menjejaskan keselamatan sesiapa.

Menurut syarikat itu, mereka segera menyediakan pesawat udara gantian untuk pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

“Sebuah kapal terbang lain disediakan serta-merta bagi memenuhi tuntutan jadual pelanggan terbabit,” kata syarikat berkenaan semalam.

Pengerusi CAAM Azharuddin Abdul Rahman pada Sabtu berkata kapal terbang yang sepatutnya dinaiki Dr Mahathir tidak dapat digunakan ekoran berlaku kebocoran udara pada tayar kiri.

Azharuddin turut menafikan dakwaan Dr Mahathir kapal terbang yang bakal dinaikinya dari Subang ke Langkawi disabotaj.

Dalam ceramah umum pertamanya selepas sah menjadi calon PH bagi kerusi Parlimen Langkawi, Dr Mahathir mempertahankan dakwaan pesawatnya disabotaj, mengatakan CAAM tidak boleh menentukan apa yang sebenarnya berlaku sebelum siasatan dilakukan.

“DCA tahu pesawat itu tak dapat terbang apakah dia disebabkan sabotaj ataupun tidak, tidak boleh ditentukan oleh DCA sebelum siasatan,” kata Dr Mahathir dalam satu ucapan di Langkawi pada Sabtu, merujuk kepada nama CAAM sebelum dinaik taraf.

“Saya nyatakan pada akhbar, hari ini DCA anggap tuduhan saya sebagai serius. Saya tak tuduh DCA, saya cuma nak nyatakan apa yang berlaku yang diakui oleh DCA sendiri.” – 30 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen