PAS tak terpalit isu rasuah tidak seperti BN dan PH, kata Hadi  


The Malaysian Insight

PEMIMPIN PAS tidak pernah disiasat kerana rasuah kata presidennya Abdul Hadi Awang dalam kempennya untuk membezakan parti islam itu daripada pesaingnya Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

“Dulu kita tanya di Parlimen jumlah pegawai BN dan PH yang dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Orang BN kena panggil SPRM, orang PH pun kena. PAS tak pernah dipanggil untuk soal siasat,” katanya diikuti sorakan daripada penyokong parti itu pada ceramah di Tepoh dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus.

PAS bertanding pada hampir 160 kerusi Parlimen pada PRU14 - jumlah kerusi terbanyak bagi sebuah parti politik. Selain musuh tradisinya, Umno dan pakatan BN, parti Islam itu turut berdepan dengan calon daripada bekas sekutunya PKR dan DAP.

PAS menamatkan kerjasama dengan PKR dan DAP pada 2015. Malah pecahan daripada bekas pemimpin dan ahli Parlimennya turut membentuk satu lagi parti iaitu Amanah.

PKR, DAP dan Amanah kini dalam pakatan pembangkang Pakatan Harapan bersama dengan Bersatu, yang diketuai oleh bekas presiden Umno Dr Mahathir Mohamad.

Kajian oleh Institut Daru Ehsan (IDE) menunjukkan sokongan kepada PAS menurun sejak ia berpecah dengan PKR dan DAP.

Hasil kajian terbaharunya pada Mac, IDE mendapati sokongan terhadap BN adalah 42%, PH 41%, manakala PAS hanya mendapat sokongan 13% responden.

Invoke pula mndapati hanya 14% pengundi Melayu dalam kajian yang dijalankan pada Disember tahun lalu, akan mengundi PAS.

Walaupun terdapat dakwaan sedemikian, pemimpin PAS sepeti Hadi tidak berhenti menyatakan partinya merupakan alternatif terbaik kepada BN dan PH.

Pada sesi ceramah itu malam tadi, Hadi turut menyatakan rasa bangganya terhadap kepercayaan Islam dan berkata ini adalah sebab pemimpinnyanya bersih dan tidak dicemari oleh skandal.

“Kita ajar pegawai kita supaya mereka ada hubungan dengan Tuhan. Itu sebabnya mereka takut untuk lakukan rasuah.” – 30 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen