SUKARELAWAN muda menjadi pemacu utama di sebalik kempen pilihan raya bekas pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah di Petaling Jaya.
Pengurus kempennya – Ivy Josiah and Masjaliza Hamzah – yang merupakan aktivis terkenal. Ivy merupakan pengarah eksekutif Women’s Aid Organisation manakala Masjaliza merupakan pengarah eksekutif Centre for Independent Journalism.
“Kami amat lega selepas hari penamaan calon. Saya bimbang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan menerima kertas pencalonannya kerana masalah teknikal,” kata Ivy yang memuji pegawai SPR kerana tindakan mereka yang profesional.
“Saya mengenali Maria lebih 30 tahun. Kami bekerjasama untuk mengetengahkan Akta Keganasan Rumah Tangga (1995). Saya tahu etika dan komitmen kerja beliau. Saya percaya beliau akan menjadi seorang ahli parlimen yang boleh kita percaya dan harapkan,” katanya.
Dua lagi aktivis wanita, yang bekerja dengan Maria sejak 1980an, Ho Yock Lin dan Betty Yeoh dari All Women’s Action Society Malaysia (AWAM) juga dilihat membantu Maria di pusat kempennya di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selangor.
Tidak seperti sukarelawan kempen Barisan Nasional, sukarelawan Maria tidak dibayar.
Ivy, yang merupakan pengundi di Petaling Jaya berkata, mereka berhasrat untuk mengekalkan perbelanjaan kempen dibawah had RM200,000.
Katanya, Maria memutuskan untuk bertanding pada pilihan raya sebagai wakil masyarakat sivil selepas berunding dengan rakan sejawatnya dalam Bersih 2.0 dan pergerakan wanita awal tahun ini.
Dr Sumatra Jayaraj, 35, dari Wangsa Maju mengambil cuti selama dua bulan untuk membantu menguruskan ejen pusat mengundi dan pengiraan undi untuk Maria.
Pada awalnya, beliau bimbang pasukan itu tidak dapat mengumpulkan 600 ejen pusat pengiraan dan pusat mengundi yang diperlukan.
“Kini kami memiliki ejen secukupnya dan masih ada orang yang bertanya tentangnya.
“Kita tidak boleh menganggap Petaling Jaya sebagai kerusi selamat dengan tambahan Seri Setia. Ia sudah menjadi 52,000 pengundi. Ia merupakan kerusi DUn terbesar di Selangor,” tambah Dr Sumatra, yang juga peguam bela kepada hak kesihatan seksual dan reproduktif wanita.
Dengan 140,920 pengundi, Petaling Jaya merupakan kawasan Parlimen terbesar di negara ini. Maria akan berdepan pertandingan tiga penjuru dengan calon PAS dan Barisan Nasional.
Salah seorang ejen pengiraan dan pusat mengundi, Elaine Liaw, 40, yang juga merupakan pengurus projek dari Cheras berkata, beliau membuat keputusan untuk menjadi sukarelawan selepas menyertai latihan Invoke.
“Kami diberitahu bahawa Petaling Jaya merupakan kerusi marginal. Saya pernah menyertai perhimpunan Bersih. Saya menyokong manifesto Maria dan apa yang diperjuangkannya,” kata Liaw.
Sukarelawan yang berkempen buat pertama kali, Mayna Patel, 27 berkata beliau melihat Maria sebagai idola.
“Sebagai wanita muda yang mahukan perubahan, mengubah masyarakat adalah penting. Maria sudah lama menjadi aktivis sebelum menyertai politik.
“Jika ada seseorang yang boleh membawakan perubahan pilihaan raya, hak wanita dan hak asasi manusia, dialah orangnya,” kata Mayna. – 30 April, 2018.
Komen