CALON PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil telah melakukan tugasnya untuk cuba memenangi hati pengundi Lembah Pantai namun ramai yang masih tidak yakin dengan calon kali pertama itu untuk bersemuka pesaingnya, Raja Nong Chik Zainal Abidin dari Barisan Nasional.
Kebanyakan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, sebuah kawasan perumahan kos rendah di Lembah Pantai, berkata Raja Nong Chik telah menjalankan tugas dengan baik untuk menawan hati pengundi berbanding dengan calon PKR sebelum ini Nurul Izzah Anwar.
Nurul Izzah menewaskan Raja Nong Chik dengan 1,847 undi pada Pilihan Raya Umum ke 13. Bagaimanapun, beliau tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada 9 Mei, tetapi bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Fahmi yang merupakan pembantu Nurul Izzah diumumkan sebagai calon bagi Lembah Pantai, menentang Raja Nong Chik dan calon PAS Fauzi Abu Bakar.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hayat, 41 berkata Nurul Izzah sebelum ini gagal mendekati rakyat.
“Selain bukti pembangunan, Raja Nong Chik akan hadir pada setiap majlis perkahwinan yang dijemput tetapi Nurul Izzah kebanyakannya hanya berhubung dengan penduduk wanita di kawasan itu, katanya.
Seorang lagi penduduk, Ganesan Subramaniam berkata, Raja Nong Chik selalu melawat kawasan dan banyak berusaha untuk pembangunan di kawasan itu.
“Kerajaan mengecat bangunan blok PPR dan membaiki jalan. Berbanding Nurul Izzah, Raja Nong Chik lebih banyak singgah di sini untuk beri bantuan kepada rakyat seperti gula, beras dan barangan keperluan lain,” kata lelaki berusia 48 tahun itu.
Bagaimanapun, beliau sedar bahawa Nurul Izzah menjalankan kerjanya dengan sumber yang terhad berbanding calon BN.
Penduduk di kejiranan PPR Pantai Ria yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, Raja Nong Chik telah membuktikan dirinya sedia untuk berhidmat kepada rakyat.
“Raja Nong Chik selalu mengambil berat rakyat di sini. Beliau merupakan orang yang pertama sampai sekiranya terdapat masalah di sini.”
Ditanya pandangannya tentang Fahmi, Hayat mengakui tidak banyak tahu tentang calon PKR berusia 37 tahun itu.
“Saya pernah nampak beliau, tetapi saya tidak tahu apa yang beliau boleh berikan kepada kami,” katanya.
Siti dari PPR Pantai Ria bersetuju bahawa penduduk tidak banyak tahu tentang Fahmi untuk membuat keputusan mudah untuk undi siapa.
“Fahmi masih baru, saya tidak asti apa yang dia boleh tawarkan. Kita tunggu dan lihat.” – 30 April, 2018.
Komen