FADILLAH Ali dari Kampung Rusila Dua, Terengganu mungkin satu-satunya penyokong Umno di kejiranan itu.
“Hampir semua orang di sini ahli atau penyokong PAS,” katanya merujuk kepada kawasan dalam Parlimen Marang.
Kenyataan Fadillah, 42, itu ketara apabila PAS memegang Marang selama ini dan penyandangnya, Abdul Hadi Awang, kemungkinan besar akan diundi lagi pada 9 Mei ini.
Hadi berdepan Mohamad Nor Endut daripada Barisan Nasional (BN) dan Dr Zarawi Sulong daripada Pakatan Harapan (PH).
Data silam dan kajian terkini menunjukkan BN biasanya akan menang apabila berlaku perlawanan tiga penjuru.
Tetapi di Marang, Hadi merupakan tokoh popular.
Kehadiran PH hanya dirasai ketika hari penamaan calon ketika calonnya menghantar kertas pencalonan.
“PH tidak ada peluang selagi Tok Guru Hadi di sini. Mereka tidak ada cawangan di Marang,” kata penjual buah, Mamat Ghani, 69.
Marang mempunyai lebih 104,000 pengundi dan empat kerusi DUN di bawahnya. Rhu Rendang, Bukit Payong dan Alor Limbat dimenangi PAS pada PRU 2013. Pengkalan Berangan saja dimenangi oleh BN.
Hadi lahir di Marang dan bertanding di situ sejak ia menjadi kawasan DUN pada 1986. Ketika Marang dinaik taraf ke kerusi Parlimen, beliau terus bertanding di situ dan juga kerusi DUN Rhu Redang di mana keluarganya menetap.
Pada PRU 2013, Hadi kekal di Parlimen Marang dengan majoriti lebih 5,100 undi.
Calon BN, Mohamad tidak gentar tentang kedudukan Hadi dan sejarah di Marang, memberitahu wartawan bahawa beliau menawarkan pengundi pembangunan dan infrastruktur lebih baik untuk kawasan itu.
Zarawi daripada PH tahu beliau bukan calon pilihan.
“Kami akan bertemu pengundi secara berdepan, bukannya ceramah mega untuk membolehkan mereka mengenali kami dengan lebih dekat.
“Al-Quran sendiri menyatakan, tentera lebih kecil kadangkala boleh menewaskan pasukan lebih besar jika Allah mengizinkan.” – 30 April, 2018.
Komen