KANADA berkata pada Khamis ia memanggil balik 41 diplomat dari India susulan perbalahan sengit berhubung pembunuhan seorang pemisah Sikh di Kanada.
New Delhi merancang membatalkan imuniti diplomatik untuk semua kecuali 21 diplomat Kanada dan keluarga mereka menjelang Jumaat, memaksa Ottawa memanggil balik yang lain, kata Menteri Luar Negeri Melanie Joly.
“Kami membantu mereka berlepas dari India dengan selamat,” tambah Joly. “Ini bermakna diplomat kami dan keluarga sudah meninggalkan negara itu.”
Hubungan antara India dan Kanada merosot sejak Ottawa bulan lalu mengaitkan perisikan India secara terbuka dengan pembunuhan warga Kanada Hardeep Singh Nijjar dekat Vancouver pada Jun.
Nijjar menganjurkan sebuah negeri Sikh yang berasingan dari India.
Kanada meminta India bekerjasama dalam penyiasatan itu tetapi New Delhi menolak dakwaan itu dan mengambil tindakan balas, seperti menutup perkhidmatan visa kepada warga Kanada.
Ottawa juga memecat seorang diplomat India berhubung perkara itu.
Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar berkata bulan lalu di New York yang negaranya bersedia untuk meneliti sebarang bukti yang dikemukakan oleh Kanada.
“Kami memberi mereka banyak maklumat tentang kepimpinan jenayah terancang yang beroperasi di luar Kanada,” kata Jaishankar, merujuk kepada pemisah Sikh.
“Kita ada situasi di mana sebenarnya diplomat kita diancam, konsulat kita diserang dan sering komen dibuat (iaitu) campur tangan dalam politik kita,” katanya.
Kanada adalah mempunyai kira-kira 770,000 orang Sikh, atau kira-kira 2% daripada penduduk negara itu, dengan kumpulan vokal menyeru mewujudkan negeri Khalistan yang berasingan.
Ratusan penunjuk perasaan Sikh berhimpun di luar bangunan diplomatik India di Kanada bulan lalu, membakar bendera dan memijak gambar Perdana Menteri India Narendra Modi.
“Kami tidak selamat pulang ke Punjab, kami tidak selamat di Kanada,” kata Joe Hotha, ahli komuniti Sikh di Toronto.
Pergerakan pemisah Sikh sebahagian besarnya sudah tiada di India di mana pasukan keselamatan menggunakan kekerasan maut untuk menumpaskan pemberontakan pada 1980-an. – AFP, 20 Oktober, 2023.
Komen