SKANDAL 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berterusan menjadi modal kempen calon-calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dalam ceramah-ceramah kelompok yang dianjurkan di Johor, calon PH untuk kerusi Parlimen dan DUN berterusan menggunakan 1MDB dan GST sebagai alas an supaya pengundi menolak Barisan Nasional (BN).
Mengakui “jasa” kedua-dua isu itu, calon PH untuk DUN Larkin Mohd Izhar Ahmad melihat ia memberikan kelebihan buat pembangkang diterima di Johor.
“Di Johor, 60% orang Melayu sudah sokong kita…pasal 1MDB punya hal kita jadi kawan, bagus juga GST dan 1MDB ini, kita boleh berkumpul di sini malam ini,” katanya.
Izhar berkata demikian di hadapan kira-kira 700 pengundi Cina di DUN Stulang yang terletak dalam Parlimen Johor Bahru.
Ceramah itu dianjurkan untuk memperkenalkan calon-calon PH dari lima kawasan Parlimen iaitu Iskandar Puteri, Tebrau, Johor Bahru, Pulai, dan Pasir Gudang.
Calon PH di Parlimen Pasir Gudang, Akmal Nasir dalam ceramahnya berkata, lebih banyak keajaiban akan berlaku menjelang proses pengundian dalam usaha menggagalkan PH.
Akmal menggunakan contoh Naib Presiden PKR Tian Chua yang tidak dibenarkan bertanding di Parlimen Batu atas alasan sabitan kes mahkamah terhadapnya pada 2013.
“Lebih banyak akan berlaku menjelang proses pengundian, masa penamaan calon macam macam ‘magic’ kita lihat.
“Umno dan BN tidak akan menyerah kalah macam itu sahaja,” katanya lagi. – 29 April, 2018.
Komen