LEGENDA perpisahan mereka tidak sepedih dan seperti kisah pemecatan Anwar Ibrahim tetapi cerita kekeruhan hubungan Dr Mahathir Mohamad dan S. Samy Vellu masih jadi bualan hangat dan kembali jadi tumpuan.
Video klip enam tahun lalu wawancara bekas orang kuat MIC itu dengan wartawan New Straits Times dimulai dengan Samy Vellu memuji Dr Mahathir kerana memodenkan Malaysia. Dr Mahathir menjadi perdana menteri Malaysia sejak Julai 1981 sehingga Oktober 2003.
Klip video itu adalah sejumlah video yang tular di media sosial dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan diketuai Dr Mahathir dan Barisan Nasional diterajui Perdana Menteri Najib Razak.
“Semua kemodenan ini, saya selalu kata yang Malaysia dimodenkan oleh (Dr) Mahathir…MMM,” katanya sambal tersenyum seperti dilihat dalam klip itu.
Samy Vellu yang kini berusia 82 tahun adalah presiden MIC sejak Oktober 1979 hingga Disember 2010, dua tahun selepas kehilangan Sungai Siput. Beliau memegang kawasan itu selama lapan penggal sejak Pilihan Raya Umum 1974.
Dalam klip video itu, beliau menjelaskan yang hubungan keruh antaranya dengan Dr Mahathir kerana beliau membantah rancangan negarawan itu untuk membawa masuk Indian Progressive Front (IPF) ke dalam Barisan Nasional pada 1994.
“Ada sebab kenapa dia (Dr Mahathir) terasa. Saya akan beritahu sekarang. Rakyat juga perlu tahu. Dia rapat dengan saya. Mengapa dia terasa? Dia mahu masuk IPF (pimpinan M.G) Pandithan ke dalam Barisan (BN). Semua orang setuju, saya tidak (setuju),” katanya.
Walaupun begitu, Samy Vellu dalam klip itu mengatakan beliau sentiasa mendoakan kesejahteraan Dr Mahathir.
“Dia orang yang hebat. Saya tak rasa kita akan ada orang lain sepertinya lagi (suara mula bergetar dan dia mencapai tisu). Perancang yang hebat, pelaksana yang hebat, pemikir yang hebat. Saya tak pernah sekalipun lawan dia,” katanya.
Dr Mahathir, 92, bertanding di kerusi Parlimen Langkawi untuk Pakatan Harapan, gabungan pembangkang itu sudahpun hilang enam calon kerana hilang kelayakan atas pelbagai sebab pada hari penamaan calon Sabtu lepas. Hari pengundian dijadualkan berlangsung pada 9 Mei. – 29 April, 2018.
Komen