Karnival Deepavali jejas pendapatan peniaga tempatan


Ravin Palanisamy

Peniaga tempatan berkata perniagaan mereka memang bergantung kepada pelanggan India saja dan kemuncak jualan biasanya pada musim perayaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2023.

DENGAN Deepavali yang bakal tiba tidak lama lagi, peniaga India tempatan dan perusahaan kecil meluahkan rasa bimbang dan tidak puas hati terhadap karnival dan pesta jualan yang diadakan di bandar utama di seluruh negara.

Aduan utama mereka adalah karnival ini atau digelar bazaar atau pesta jualan – turut membawa masuk peniaga dan pengedar dari India selain usahawan online kecil-kecilan tempatan yang menjual pada harga lebih murah serta produk kurang berkualiti termasuk pakaian tradisi India, perhiasan diri dan biskut.

Semua produk itu antara barangan paling laku pada musim Deepavali.

Premis sementara dibuka di beberapa pusat beli-belah, dewan ekspo dan malah di tapak letak kenderaan di hampir setiap negeri, kata peniaga tempatan.

Mereka mendakwa jumlah karnival yang tidak terkawal ini diwujudkan oleh penganjur “tidak bertanggungjawab” hampir setiap minggu.

Peniaga tempatan berkata mereka berdepan kerugian pendapatan hampir 80% sepanjang musim perayaan ini apabila karnival dan pesta jualan diadakan sempena Deepavali.

Deepavali akan disambut pada 12 November depan.

Pemilik kedai Maghna Store di Balakong, V Malathi mengakui perniagaannya teruk terjejas dengan adanya karnival dan pesta jualan berkenaan, mendakwa terdapat empat bazaar setiap bulan di kebanyakan negeri.

“Sebelum ini, karnival jualan seperti itu diadakan hanya ketika Deepavali tetapi sekarang ia bermula beberapa bulan lebih awal. Saya rasa sekarang adan sekurang-kurangnya empat bazaar diadakan setiap bulan, bermakna, setiap minggu, diadakan oleh penganjur yang berbeza,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Perniagaan seperti kami yang banyak membayar cukai barangan, pakaian dan produk yang dibawa dari India dan kami terpaksa menjualnya pada harga yang dapat memberikan keuntungan.

“Hasil jualan itu untuk membayar gaji staf, sewa dan utiliti. Tetapi apabila banyak sangat karnival dan bazaar diadakan, mereka jual pada harga lebih murah.

“Karnival ini menyebabkan kami kerugian. Pelanggan yang biasa membeli lima hingga enam barangan daripada kami pada musim perayaan kini tidak lagi datang.

“Kenapa? Sebab mereka beli pada harga murah di pesta jualan,” katanya.

Pada awalnya, pesta jualan atau pameran dianjurkan oleh syarikat pengurusan acara tempatan bertujuan membuka penyertaan pengeluar dari India, Pakistan dan Bangladesh untuk memperkenalkan produk seperti barang kemas perhiasan, seni kraftangan, tekstil dan lain-lain kepada peniaga tempatan.

Bagaimanapun, ia berubah dengan drastik apabila peniaga asing mengambil bahagian dalam pesta jualan, pameran atau karnival ini, dan menjual secara langsung kepada peniaga tempatan.

Trend ini berterusan, menyebabkan syarikat pengurusan acara tempatan yang lain mengambil kesempatan atas keadaan itu.

Vasugi Auliar dari Kulim, Kedah, yang berniaga tekstil selama hampir 30 tahun, berkata pesta jualan dan karnival sangat menjejaskan perniagaan mereka.

Katanya, kebanyakan stok jualannya yang dibawa masuk khusus untuk musim perayaan, masih tidak menunjukkan jualan yang memberangsangkan.

“Kami biasanya mula buat potongan tawaran jualan untuk Deepavali sebulan sebelum perayaan tetapi kami tidak dapat berbuat demikian kerana terlalu banyak bazaar, dan ia diadakan terlalu kerap.

“Setiap karnival berlangsung selama lima hari. Bagaimana perniagaan tradisional seperti kami hendak berniaga? Kami terpaksa tutup kedai seawal 6 petang kerana tidak ada orang datang, mereka pergi ke karnival untuk beli barang di sana,” katanya.

Vasugi berkata perniagaan mereka memang bergantung kepada pelanggan India saja dan kemuncak jualan biasanya pada musim perayaan.

Katanya, peniaga warga asing menjual pada harga lebih rendah menyebabkan pasaran terjejas.

“Mereka boleh jual pada harga lebih murah kerana kebanyakannya adalah pengeluar atau pembuat barangan itu. Apa yang berlaku adalah mereka mewujudkan pasaran yang tidak stabil untuk kami, dan sudah tentu pelanggan akan beli barangan lebih murah.

“Akhirnya, peniaga tempatan yang terpaksa tanggung kerugian,” katanya. – 20 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen