Calon BN Segambut nafi ‘upah’ penyokong sertai perarakan penamaan calon


The Malaysian Insight

LOGA Bala Mohan, penyandang jawatan timbalan menteri wilayah persekutuan Loga Bala Mohan menafikan Barisan Nasional (BN) “mengangkut” penyokong untuk menyertai perarakan bersamanya pada hari penamaan calon.

Loga yang merupakan calon kerusi Parlimen Segambut juga menafikan dakwaan kehadiran penyokong BN adalah disebabkan “habuan” yang diberikan.

“Ya, penyokong datang tetapi kami tak beri apa-apa. Ia tak benar.

“Tiada beg hadiah diberikan dan semua penyokong memakai baju BN mereka sendiri.

“Penyokong yang datang digerakkan oleh parti kami. Jika penyokong (pembangkang) tak datang, ia bukan salah kami. Jangan salahkan kami. Jangan buat cerita tentang kami,” katanya.

Dilaporkan yang bagi memastikan kehadiran ramai penyokong untuk Loga, BN memberikan mereka sarapan, beg hadiah dan baju BN.

Ada juga dakwaan yang lapan buah bas membawa penyokong untuk Loga.

Loga berkata mereka tak menyediakan sarapan dan pengangkutan tetapi hanya berikan penyokong mereka air mineral.

“Kami tak panggil sesiapa untuk datang. Kami parti besar jadi mereka boleh gerakkan jentera.

“Sudah tentu ada bas kerana mereka datang dari banyak tempat. Mereka datang sendiri. Kami tak sediakan pengangkutan.

“Ada penyokong saya yang datang dari Pulau Pinang, tempat asal saya tetapi tak ramai.”

Loga bertanding menentang Hannah Yeoh (DAP) dan Mohd Solleh Ab Razak (PAS). – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen