KEDUDUKAN Ahmad Bashah Md Hanifah di kubu kuatnya, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti goyah susulan sentimen penolakan pengundi ke atas Barisan Nasional (BN) yang marah kerana faktor kos sara hidup, walaupun umumnya mereka puas hati dengan prestasi beliau menerajui negeri.
“Mereka tak peduli kenal atau tidak calon Pakatan Harapan tapi mereka nak pilih parti yang lawan BN,” kata pengundi di Suka Menanti, Sabuddin Mutallah, 67.
Suka Menanti yang sebelum ini dikenali dengan nama Bakar Bata, ditandingi tiga penjuru antara calon PKR, Zamri Yusof dan Mohd Sabri Omar (PAS) yang mencabar Ahmad Bashah, penyandang lima penggal sejak 1999.
Sementara itu, seorang lagi penduduk tempatan Mohamad Ridzwan Hasan, 50, yang ditemui turut mengeluh mengenai kenaikan harga barang.
“Sekarang ini kalau RM50 apa saja yang kita boleh beli. Semua barang naik, mahal. Kali ini memang kita kena ubah, kalau tidak harga barang akan terus naik lagi,” katanya.
Seorang lagi pengundi Suka Menanti, Mohamad Hanif, 28, berkata beliau mengambil pendirian tunggu dan lihat untuk memilih parti yang mana sewaktu mengundi pada 9 Mei nanti.
“Saya tidak tahu lagi, tapi saya agak kurang senang dengan laporan skandal Najib Razak, pasal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan dana RM2.6 bilion,” katanya.
Bagaimanapun, seorang lagi pengundi Hashim Abdullah, 76, berkata beliau tetap akan menyokong BN untuk membalas budi jasa menteri besar tersebut.
Namun beliau mengaku memang ada tanda penolakan rakyat terhadap BN di Suka Menanti kerana marah dengan isu kos sara hidup.
“Bagi saya kali pilihan raya cuma lawan antara Umno dan Bersatu, tapi rekodnya Suka Menanti ini tak pernah jatuh pada parti lain,” katanya.
Walaupun sudah menang lima kali di kerusi yang sama, trend kemenangan Ahmad Bashah merosot daripada kelebihan 6,037 undi pada PRU 2004 kepada 895 undi pada PRU 2013. – 30 April, 2018.
Komen