Azmin tiada undi PAS, calon BN yakin rampas Gombak


The Malaysian Insight

CALON Barisan Nasional (BN) di Parlimen Gombak, Abdul Rahim Kamarudin yakin dapat menewaskan penyandangnya Azmin Ali pada PRU14 ini kerana Pakatan Harapan (PH) akan kehilangan undi PAS.

Selain bakal hilang banyak undi dari PAS, undi yang diraih timbalan presiden PKR itu juga merosot lebih 2,000 pada PRU13 berbanding pilihan raya umum sebelumnya, kata calon BN itu.

“Kita yakin boleh menang. Jika dulu kita berhadapan dengan satu blok (PAS dan Pakatan Rakyat) tetapi sekarang PAS juga sudah tawar diri jadi calon.

“Hanya serpihan PAS iaitu Amanah yang memihak kepada Azmin. Undi dia yang lepas pun merosot,” katanya.

Azmin pada 2008 mengalahkan calon BN Said Anuar Said Ahmad dengan 6,867 undi. Beliau berjaya mengekalkan kemenangannya pada 2013 namun undinya majoritinya merosot kepada 4,734 ketika mengalahkan Raman Ismail.

Pada PRU14, kawasan Gombak akan ditentukan 141,121 pengundi, 75% daripadanya Melayu.

Selain Rahim dan Azmin, Parlimen Gombak turut ditandingi calon PAS Khairil Nizam Khirudin.

Kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan ada tanda pengundi Melayu akan menolak BN tetapi undi mereka akan berpecah antara PH dan PAS. Kajian pada minggu pertama April itu dikeluarkan sehari sebelum penamaan calon.

Sementara itu, pensyarah kajian dasar Prof Dr Kartini Aboo Thalib Khalid mengakui undi PAS sedikit sebanyak memberi kesan kepada Azmin namun akan diselamatkan pengundi baru dan anak muda.

“Pertambahan jumlah penduduk dan pengundi baru boleh jadi akan memihak kepada Azmin.

“Azmin membuktikan beliau boleh mengurus Selangor dengan baik. Pengurusan kewangan negeri juga baik dan efisien,” katanya yang juga penolong pengarah Institut Kajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia. – 30 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen