MESIR membatalkan penganjuran Festival Filem Antarabangsa Kaherah (CIFF) bulan depan susulan ketegangan Israel-Palestin, lapor Screen Daily.
Pembatalan itu dibuat susulan keputusan Menteri Kebudayaan Mesir Dr Neven El-Kelany menangguhkan festival yang dijadual bermula 15 November ini dan diumumkan oleh pihak pengurusan festival semalam.
“Tarikh baru festival akan ditentukan kemudian,” kata jawatankuasa festival, seperti dipetik Screen Daily.
CIFF ke-45 dibatalkan kerana tiada lagi tarikh lain pada tahun ini yang membolehkannya berlangsung di Pusat Kebudayaan Nasional di Kaherah.
Tarikh-tarikh lain juga akan bertembung dengan Festival Filem Antarabangsa Marrakesh pada 24 November hingga 2 Disember dan Festival Filem Antarabangsa Laut Merah 30 November hingga 9 Disember.
Sebelum ini Festival Filem El Gouna di Mesir juga ditangguhkan dari 13 hingga 20 Oktober kepada 27 Oktober hingga 2 November.
CIFF dijadual mengumumkan program penuhnya tidak lama lagi, selepas sebelum ini mengumumkan anugerah sepanjang hayat kepada pengarah Mesir Yousry Nasrallah.
Festival ini adalah antara yang paling awal di dunia Arab, bermula sejak 1976.
Ia juga satu-satunya festival filem antarabangsa kelas A di rantau itu, berdasarkan pengiktirafan Persekutuan Persatuan Penerbit Filem Antarabangsa (FIAPF). – 19 Oktober, 2023.
Komen