SELEPAS sebuah kumpulan penduduk kondominium mendesak projek pembangunan lereng bukit dihentikan, giliran sebuah kumpulan nelayan di utara Pulau Pinang pula tampil membuat tuntutan ketika kempen pilihan raya sedang rancak berlangsung.
Kumpulan nelayan itu mahukan kerajaan negeri menolak permohonan semua projek tambakan laut di masa hadapan.
Mereka juga mahukan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk projek tambakan laut Seri Tanjung Pinang 1 dan 2 (STP1 dan STP2) dan Gurney Wharf di negeri itu disemak semula, dan kerajaan negeri perlu mencari pilihan lain bagi meningkatan sumber pendapatan negeri dan tidak lagi bergantung kepada penjualan tanah yang ditambak.
Mereka juga mendesak jawatankuasa bertindak dianggotai nelayan dan pakar ditubuhkan bagi memantau masalah alam sekitar di tapak tambakan laut.
Itu adalah empat daripada 11 tuntutan dibuat nelayan dari Paramount, Gurney Drive, Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah pada sebuah majlis dihadiri media dan calon DUN Tanjung Bungah dan Pulau Tikus hari ini. Sejak beberapa tahun lepas, nelayan Pulau Pinang menyalahkan projek tambakan laut yang didakwa menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Antara tuntutan lain yang turut dikemukakan komuniti itu adalah perlunya semua rancangan pembangunan di kawasan pesisir pantai negeri berasaskan aspirasi nelayan. Mereka juga mahukan sebuah pelan bersepadu bermatlamatkan pembangunan lestari dibentuk dan pelan strategik untuk mempersiapkan nelayan berdepan masalah pemanasan global yang bakal menjejaskan kehidupan mereka dirangka. Selain itu, proses kelulusan dan pembaharuan lesen perikanan juga perlu ditambah baik.
Rosli Abdul yang mewakili nelayan Tanjung Tokong berkata komuniti itu tidak memihak dan akan menyokong mana-mana calon pilihan raya yang bersetuju untuk memperjuangkan tuntutan nelayan.
Apabila dijemput berucap, calon BN Tanjung Bungah Teng Chang Yeow yang pernah menjadi exco kerajaan negeri ketika zaman Gerakan memerintah mengatakan tidak sukar untuk mana-mana calon memenuhi permintaan nelayan jika menang.
“EIA tidak tetap. Selagi mana projek berjalan, peraturan dan syarat baru boleh dikenakan bersesuaian dengan perubahan persekitaran. Jabatan Alam Sekitar ada kuasa berbuat demikian,” katanya.
Bekas Adun Pulau Tikus Yap Soo Huey yang mewakili calon PRU14, Chris Lee pada dialog itu mengatakan beliau bersetuju dan menyokong tuntutan nelayan berkenaan.
“Kerajaan negeri sedang berusaha sehabis baik bagi menambah baik prosedur dan panduan berkaitan projek tambakan laut,” katanya menambah yang kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberikan bayaran penghargaan sebanyak RM15,000 kepada setiap nelayan yang terjejas oleh projek tambakan laut STP1 pada 2008. – 29 April, 2018.
Komen