KEPUTUSAN mengejut Pengerusi PKR Sarawak Bian untuk bertanding di kerusi majoriti Iban di Selangau akan menjadi ujian untuk melihat adakah pengundi di negeri yang mempunyai lebih 40 suku itu sudah melangkaui politik perkauman, kata penganalisis.
Ramai yang terkejut apabila Baru yang juga penyandang DUN Ba’ Kelalan daripada etnik Lun Bawang mengumumkan akan bertanding di Selangau, kerusi Parlimen kawasan luar bandar dengan lebih 30,000 pengundi di mana 90% daripada kaum Iban.
Sentimen tempatan biasanya akan menyebabkan pengundi Sarawak membuang undi mengikut kaum. Tetapi penganalisis politik Jeniri Amir berkata ada contoh di mana pengundi tidak mengundi berdasarkan kaum.
Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata penyandang Bintulu, Tiong King Sing, seorang Cina dipilih mewakili kawasan itu di mana 60% pengundinya adalah kaum Iban, dan bukan sekali menjadi Adun di situ tetapi, empat penggal.
Jeniri berkata pada PRU 1995, seorang lagi ahli perniagaan Cina, Sng Chee Hua menang di Julau di mana 95% pengundinya masyarakat Iban. Di peringkat DUN, Aidan Wing berketurunan Melanau dipilih untuk dua penggal di kawasan majoriti Kedayan di Lambir, Miri.
Baru pula, selain keturunannya, beliau juga orang luar di Selangau, kata pemerhati Sarawak, James Chin yang juga pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania.
Baru berkata beliau memilih bertanding di Selangau selepas Timbalan Presiden Parti Rakyat Sabah (PRS) dan menteri sementara di Jabatan Perdana Menteri Joseph Entulu daripada parti itu pada Ahad lalu, susulan masalah dalaman parti.
Barisan Nasional (BN) memilih peguam, Rita Sarimah Patrick Insol menggantikan Entulu pada PRU14. Pada PRU13, Entulu yang memegang Selangau selama tiga penggal, mengekalkan kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 7,555 undi.
Baru yang juga peguam hak asasi tanah adat yang terkemuka, menyandarkan pencapaiannya dalam mempertahankan hak adat dalam pertelingkahan antara pemilik tanah dan kerajaan negeri.
“Kebanyakan kes tanah adat adalah di kawasan ini – Selangau, Tamin dan Kakus,” katanya.
Beliau yang boleh berbahasa Iban berharap pengundi tidak akan melihatnya hanya berdasarkan kepada kaum.
Ini bukan cubaan pertama Baru untuk bertanding kerusi Parlimen. Pada 2013, beliau bertanding di Limang, kerusi majoriti Lun Bawang, tetapi tewas kepada penyandang daripada BN dengan undi 8,301. – 29 April, 2018.
Komen