SEBUAH badan bebas perlu dibentuk dan diletakkan duduk di atas Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengawasi perjalanan agensi pengendali itu, kata seorang pemimpin kanan PKR.
Naib Presiden PKR Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata badan itu jugalah nanti tempat mana-mana pihak boleh membuat aduan atau bantahan terkait urusan perjalanan pilihan raya selain proses mahkamah.
Beliau memberikan contoh struktur Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) di Indonesia yang menjaga Komisi Pemilihan Umum (KPU), agensi pengendali pilihan raya yang setara dengan SPR.
“Dengan wujudnya Bawaslu, parti dan rakyat boleh mengemukakan syor dan juga aduan berhubung dengan perkara-perkara ketidakpuasan hati terhadap SPR,” katanya dalam satu kenyataan media.
SPR mengundang kontroversi apabila menolak sekurang-kurangnya dua pencalonan calon Pakatan Harapan di kerusi Parlimen Batu dan kerusi DUN Rantau dengan alasan meragukan.
Calon PKR, Tian Chua disekat daripada bertanding dengan alasan hilang kelayakan selepas dijatuhkan hukuman denda RM2,000 oleh mahkamah. Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang hilang kelayakan sekiranya dihukum denda tidak kurang RM2,000.
Di kerusi DUN Rantau, calon PKR Dr S Streram dihalang daripada memasuki pusat pencalonan kerana tidak mempunyai pas calon yang dikeluarkan oleh SPR. Beliau bagaimanapun kemudian dibenarkan mengemukakan kertas pencalonan tetapi ditolak kerana dibuat di luar masa yang ditetapkan.
“SPR sewajarnya mempermudahkan urusan pencalonan untuk meraikan pesta demokrasi lima tahun sekali.
“SPR mampu berbuat demikian untuk meraikan pelbagai pihak mengambil bahagian dalam proses demokrasi ini,” kata Shaharuddin. – 29 April, 2018.
Komen