Pakatan bakal berdepan cabaran hebat di Tanjung Bungah


The Malaysian Insight

KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bungah di Pulau Pinang nampaknya bakal menjadi kawasan bermasalah untuk Pakatan Harapan (PH) apabila penduduk setempat mula menimbulkan kebimbangan mereka dan mengecam kerajaan negeri ketika kempen pilihan raya sedang hangat berlangsung.

Pagi tadi, penduduk Miami Green Resort Condominium, Batu Feringgi memberikan cabaran hebat kepada calon kawasan itu, Zairil Khir Johari (DAP) dengan bertanyakan pelbagai soalan dan kecaman mengenai projek pembangunan lereng bukit.

Penduduk menganjurkan sesi dialog itu untuk membantah cadangan pembangunan lereng bukit berdekatan kediaman mereka yang dianggap menjejaskan alam sekitar. Mereka menuntut projek itu dibatalkan kerana bimbangkan masalah keselamatan dan bencana tanah runtuh.

Zairil merupakan penyandang kerusi Parlimen Bukti Bendera, DUN Tanjung Bungah terletak dalam kawasan Parlimennya. Beliau cuba mempertahankan kerajaan negeri dan dasar pembangunan lereng bukit- menekankan yang pembangunan itu tidak akan diluluskan jika syarat dan keperluan tidak dipenuhi pemaju.

Tetapi, jawapan Zairil tidak diterima dengan baik penduduk kawasan itu sehingga menyebabkan beliau diejek. Malah, ada penduduk mengatakan mereka tidak perlukan “wakil pemaju” ditujukan kepada pemimpin DAP Pulau Pinang itu.

Ketika ditanya wartawan mengenai rancangannya tentang projek itu sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat, Zairil mengatakan beliau akan menyemak semula garis panduan projek pembangunan lereng bukit itu.

Calon Barisan Nasional (BN) untuk Tanjung Bungah, Teng Chang Yeow yang turut menghadiri majlis dialog itu pula memberikan jawapan yang mahu didengar penduduk- akan menghentikan semua projek lereng bukit atas 250 kaki jika BN menang.

“Menghentikan projek lereng bukit ada dalam manifesto BN Pulau Pinang dan juga (manifesto) saya untuk Tanjung Bungah,” kata pengerusi Gerakan negeri itu.

Dialog itu turut dihadiri dua lagi calon Tanjung Bungah iaitu Lee Zheng Yong (Malaysian United Party) dan Chua Cheong Wee (Parti Rakyat Malaysia), pertandingan empat penjuru akan berlaku di situ.

Sejak dua penggal lepas, kerusi Tanjung Bungah dipegang oleh bekas wakil rakyat DAP, Teh Yee Cheu yang dikenali sebagai pejuang alam sekitar. Beliau menang dengan majoriti undi 5,515 pada 2013. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen