RAKYAT tidak harus mengundi Pakatan Harapan (PH) semata-mata mahu menghukum Barisan Nasional (BN), kata penyandang kerusi Parlimen Muar Razali Ibrahim hari ini.
“Jika mereka memilih Pakatan kerana percayakan mereka, biarkan mereka. Tetapi jika mereka mahu undi Pakatan kerana mereka mahu menghukum BN, minta mereka untuk fikir masak-masak,” kata Razali semasa taklimat khas pemimpin akar umbi pada sesi “Sembang Santai Bersama Pemimpin” bersempena minggu perpaduan negara.
Pemimpin yang hadir terdiri daripada ketua Rukun Tetangga dan sukarelawan tempat mengundi Tanjung Selatan.
Beliau berkata BN tidak percaya dengan konsep “menghukum” pengundi dan ia dibuktikan dengan pelaksanaan projek keretapi berkelajuan tinggi di Pantai Timur.
“Perdana menteri (sementara) Najib Razak sedang membangunkan projek keretapi berkelajuan tinggi di Pantai Timur meskipun warga Kelantan tidak memilih BN. Kami tidak percaya dengan menghukum negeri hanya kerana mereka tidak mengundi kami. Sama juga dengan pengundi di Muar, mereka tidak harus melakukan perkara serupa untuk menghukum BN,” kata Razali.
Beliau berkata pengundi Selangor memilih perubahan kerajaan pada 2008 dan kini ketinggalan berbanding Johor.
“Jadi mengapa kita mahu ikut mereka sedangkan kita telah capai pelbagai kejayaan,” kata Razali.
Menteri sementara di Jabatan Perdana Menteri itu juga meminta mana-mana pihak yang tidak menyakini Najib agar melepaskan jawatan masing-masing.
Beliau berkata terdapat ketua kampung dan ketua cawangan yang mengkritik Najib tetapi tidak mampu menjaga kebajikan kampung dan cawangan mereka.
“Jangan ubah kerajaan hanya kerana untuk menghukum.
“Ia pernah berlaku di Syria, Libya dan Mesir dan pemimpin mereka kerap bersilih ganti.”
Razali berkata beliau sudah mulai bosan dengan retorik pembangkang dan janji mereka untuk membangunkan semula negara.
“Adakah kita terlalu teruk sehingga perlukan pembangunan semula? Mereka main-main dengan emosi pengundi untuk menang dan tidak berlawan berdasarkan pencapaian,” kata Razali.
Razali akan mempertahankan kerusi Parlimen Muar untuk kali keempat sejak memenanginya pada 2004. Pada pilihan raya umum (PRU) lepas beliau mengalahkan calon PKR Nor Hizwan Ahmad dengan kelebihan 1,646 undi. Dalam PRU14 kali ini beliau akan berdepan calon Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman dan calon PAS Abdul Aziz Taib. – 29 April, 2018.
Komen