Muhyiddin sangkal dakwaan beliau terlibat dengan MYAirlines


Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata penglibatan peguam yang mewakilinya dengan pemegang saham syarikat MYAirlines tidak boleh dikaitkan dengannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2023.

BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin menafikan beliau ada kaitan dengan syarikat penerbangan tambang murah MYAirlines yang kini menggantungkan operasinya susulan masalah kewangan.

Muhyiddin juga berkata beliau tidak tahu-menahu tentang syarikat penerbangan itu, ketika ada pihak mengaitkan namanya dengan kemelut yang sedang membelit MYAirlines.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tiada kaitan langsung dengan syarikat penerbangan ini atau mana-mana pemegang saham syarikat. 

“Saya juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai latar belakang syarikat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin, penglibatan peguam yang mewakilinya dengan pemegang saham syarikat MYAirlines tidak boleh dikaitkan dengannya.

“Rosli Dahlan Saravana Partnership sebagai sebuah firma guaman berhak untuk mewakili sesiapa sahaja yang memerlukan khidmat guamannya,” tambahnya.

Peguam Rosli Dahlan mewakili Muhyiddin dalam kes yang sedang dihadapi pengerusi Perikatan Nasional itu di mahkamah.

Muhyiddin juga berkata MYAirlines mendapat kelulusan bersyarat lesen perkhidmatan udara pada 22 Disember 2021, selepas beliau tidak lagi jadi perdana menteri.

Muhyiddin meletakkan jawatan perdana menteri pada 16 Ogos 2021.

“Saya percaya ada pihak-pihak tertentu yang cuba mencemarkan nama baik saya dengan membuat tuduhan jahat kononnya saya terbabit dengan syarikat ini. 

“Hentikanlah politik murahan yang kotor ini,” katanya.

MYAirlines menggantungkan operasinya pada 12 Oktober atas alasan “tekanan wang yang ketara”.

Tindakan itu menyebabkan lebih 125,000 penumpang terjejas dengan nilai tiket penerbangan berjumlah RM20 juta, berdasarkan jualan tiket sehingga Mac 2024, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Kelmarin, Loke berkata lesen penerbangan MYAirlines digantung buat sementara waktu, ketika syarikat itu berusaha mencari pelabur baharu.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang mengawal selia urusan teknikal dalam pada itu akan mengaudit keupayaan MYAirlines untuk beroperasi dengan berintegriti.

Hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramly Yoosuf mengesahkan pemegang saham MYAirlines ditahan reman empat hari untuk siasatan berhubung pengubahan wang haram, bersama dua ahli keluarganya. – 18 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen