Guan Eng saran kerajaan tangguh cadangan naikkan SST


Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata langkah menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikhuatiri akan memberi kesan kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2023.

KERAJAAN disaran untuk mempertimbang dan menangguhkan cadangan berkenaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) buat masa ini berikutan dikhuatiri akan memberi kesan kepada rakyat, kata Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng.

“Kalau kita kata logistik, ini akan memberi kesan besar,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat berkata kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar SST kepada 8.0% berbanding 6.0%, dan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Lim berkata pengenalan cukai baharu di tengah-tengah cabaran ekonomi dan pergolakan geopolitik dunia juga berupaya mempengaruhi pertumbuhan negara, khususnya cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10% mulai 1 Mac 2024.

Pengumuman itu telah menimbulkan kebimbangan bahawa cukai ini akan diperluas kepada semua syarikat di Bursa Malaysia pada masa akan datang, katanya. – Bernama, 18 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen