Calon PCM sasar ke Parlimen untuk dedah skandal Pulau Pinang 


The Malaysian Insight

DI tengah-tengah perpecahan politik dalam PRU14, Malaysian Decides memfokuskan apa yang diperjuangkan oleh calon Parlimen dan apakah masalah negara yang paling mendesak bagi mereka. Kami bertanyakan lima soalan mengenai peranan mereka sebagai ahli Parlimen sekiranya dipilih. 

Naib presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan, 57, merupakan antara yang paling lantang mengkritik kerajaan Pulau Pinang yang diterajui Pakatan Harapan. Beliau membuat beberapa laporan berhubung projek terowong dasar laut kepada agensi pencegahan rasuah. Kini, beliau akan bertanding untuk merampas kerusi yang disandang ketua menteri sementara Pulau Pinang Lim Guan Eng, Bagan. 

Huan, yang merupakan bekas ahli Parlimen Batu Kawan, juga pernah memegang jawatan sebagai naib presiden Geerakan, sebuah parti komponen Barisan Nasional. Sebelum beliau meninggalkan Gerakan dan menubuhkan PCM, beliau pernah digantung kerana membangkitkan isu akar umbi. 

Selain Huan dan Lim, calon yang bertanding di kerusi Bagan adalah muka baharu dari MCA Lee Beng Seng dan calon daripada Malaysian United Party Koay Xing Boon. 

Q; Apa yang akan anda perjuangkan di Parlimen ini?

Huan: Tiada keperluan untuk ke arah itu sekarang ini. Saya masih belum menang kerusi ini. Tetapi saya pernah bangkitkan banyak isu di Pulau Pinang. Rakyat tahu saya lantang dan terbuka. Jika saya kembali ke Dewan Rakyat pun saya begitu juga. 

Q: Apakah tiga masalah utama yang sedang dihadapi negara?

Huan: Perpaduan, ekonomi dan kebajikan rakyat.

Q: Apakah penyelesaiannya? 

Huan: Kita ada ramai ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang bermain politik. Mereka tidak bangkitkan isu utama. Separuh daripada Dewan Rakyat adalah gila..mereka bertengkar, bergaduh di Parlimen yang langsung tidak beri faedah kepada rakyat. Mereka berjanji untuk buat itu dan ini namun hakikatnya, apa yang mereka lakukan adalah memburukkan satu sama lain. 

Saya rasa selepas pilihan raya, kedua-dua yang menang dan kalah perlu duduk bersama dan berbincang bagaimana untuk menyelesaikan masalah rakyat. Kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama untuk kebaikan rakyat. 

Q: Bagaimana dengan keadaan negara kini? 

Huan: Sebagaimana yang saya katakan, terlalu banyak politik.  

Q: Mengapa pengundi perlu memilih anda?

Huan: Saya seorang yang simple, yang berterus terang dan lurus. Saya tidak menentang sesiapa. Saya mahu rakyat tahu isu sebenar, seperti skandal di Pulau Pinang. Projek terowong dasar laut sebagai contoh. Siapa yang memiliki syarikat terlibat?

Saya mahu dedahkan isu, seperti bagaimana kerajaan negeri menjual tanah. Bekas menteri besar Dr Lim Chong Eu tinggalkan tanah kepada negeri, tetapi banyak mana lagi yang kita ada? Kita turut mempunyai masalah alam sekitar. Dengan semua projek tambakan, Pulau Pinang sudah hilang bentuknya. Dengan semua masalah ini, saya mahu bersuara bagi seluruh generasi akan datang. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen