SUMBANGAN Mukhriz Mahathir selama ini sebagai ahli Parlimen Jerlun dari 2008 hingga 2013 dan khidmatnya yang sekejap sebagai menteri besar Kedah masih memberi kesan kepada pengundi di Jerlun, kerusi majoriti Melayu di Kedah.
Ahli politik berusia 53 tahun itu bertanding di Parlimen Jerlun pada PRU14, di mana 90% pengundinya bekerja sebagai pesawah padi.
Walaupun berdepan pertarungan sengit untuk kembali ke Parlimen dengan pertandingan tiga penjuru melawan penyandang Othman Aziz daripada Barisan Nasional (BN) dan calon PAS, Abd Ghani Ahmad, pengundi kawasan itu berharap Mukhriz akan mewakili mereka selepas PRU14.
“Saya datang daripada keluarga yang menyokong PAS. Saya selama ini mengundi PAS tetapi kali ini saya akan sokong dan undi Mukhriz.
“Pengaruhnya kuat di sini. Ketika beliau ahli Parlimen di sini, beliau akan ke sana sini, masuk kampung dan sebagai menteri besar beliau sangat fokus dengan pembangunan negeri,” kata penjual buah, Haliza Yanti ketika ditemui di Ayer Hitam, kawasan DUN di bawah Jerlun.
Haliza, 32, berkata beliau juga mahu Kedah ditadbir oleh Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, Bersatu, DAP dan Amanah.
“Bukan mudah untuknya kerana pertandingan tiga penjuru tetapi saya benar-benar berharap beliau boleh menang di sini. Ramai orang muda menyokongnya dan saya tidak kisah jika beliau jadi menteri besar semula,” katanya.
Mukhriz mengetuai jentera pilihan raya Kedah pada 2013 dan menjadi menteri besarnya selepas kerajaan berjaya merampas semula negeri itu daripada pembangkang.
Beliau disingkir daripada Umno pada 2016 dan kemudian menyertai Bersatu yang diasaskan pada tahun sama.
Mukhriz juga bertanding di DUN Jitra yang mempunyai 41,267 pengundi berdaftar, melawan Aminuddin Omar (BN) yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,056 undi.
“Saya nampak peluangnya untuk menang di sini, pencapaiannya bukan boleh dilihat di Jerlun saja, tetapi seluruh Kedah,” kata Lim Kai Cheong, 50.
Ahli PAS, Abdal Bakar, 36, berkata sukar untuk pengundi Jerlun memilih calon yang hendak dipilih memandangkan Othman yang juga timbalan menteri kewangan sementara juga memberi perkhidmatan yang baik di kawasan itu selama ini.
“Akhirnya, kita perlu lihat kepimpinan parti dan BN diketuai Najib Razai yang bermasalah dengan skandal rasuah.
“Ia menjejaskan kita sebagai satu negara. Saya ahli PAS tetapi sokongan saya untuk Mukhriz dan PH. Kos sara hidup juga terlalu tinggi walaupun untuk kami di kampung. Saya harap Kedah akan jatuh ke tangan PH,” katanya. – 29 April, 2018.
Komen