PRESIDEN Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee menggunakan kegagalan wakil rakyat pembangkang sebelum ini untuk menang di kerusi Parlimen Kota Kinabalu.
Katanya, majoriti penduduk bandar itu tidak gembira dan mengadu tentang kegagalan bekas wakil rakyat mereka- Christina Liew (PKR) dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong.
“Aduan mereka adalah wakil rakyat tidak pernah ada untuk dengar masalah penduduk,” kata Yong hari ini yang bertanding di kerusi Parlimen Kota Kinabalu kali ini.
Yong berkata demikian selepas mengunjungi Pasar Gaya pagi tadi.
SAPP adalah salah satu daripada empat parti politik dalam Gabungan Sabah, sebuah pakatan parti negeri.
“Seorang peniaga datang kepada saya dan mengadu tentang kesesakan lalu lintas di bandar dan perlunya memperbaiki sistem jalan raya di sini,” kata Yong yang turut mengatakan kegagalan Wong menyebabkan DAP Sabah sendiri menggantikannya dengan calon luar- Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin dari Tawau yang sebelum ini merupakan wakil rakyat Sri Tanjong.
Wong yang juga merupakan bekas wakil rakyat Sri Tanjong mengatakan Chan dipindahkan ke Kota Kinabalu kerana gagal berkhidmat dengan baik di Sri Tanjong.
Yong berkata tanggapan masyarakat mengenai wakil rakyat pembangkang daripada DAP adalah mereka “katak politik” misalnya Hiew King Cheu (Luyang) yang masuk DAP daripada MCA, Junz Wong (Likas) yang masuk Warisan daripada DAP dan Dr Edwin Bosi yang keluar DAP untuk masuk Parti Kerjasama Anak Negeri.
Terdapat 56, 220 pengundi berdaftar di kerusi Parlimen Kota Kinabalu, pertandingan tiga penjuru berlaku di situ antara Yong, Dr Joseph Lee Han Kyun (PBS-BN) dan Chan Foong Hin (DAP). – 29 April, 2018.
Komen