AGENSI kerajaan Biro Tatanegara dalam kempen di Muar hari ini menggesa masyarakat di kawasan berkenaan termasuk pemimpin akar umbi agar tidak menjadi mangsa “berita palsu”.
Ketua pengarahnya, Ibrahim Saad turut mengingatkan mereka mengenai kemajuan yang dikecapi Malaysia sejak 40 tahun lalu dan menggesa agar tidak merosakkan kestabilan ini dengan mempercayai “berita palsu” yang tular di media sosial terhadap kerajaan memerintah.
“Jika kita tidak berhati-hati, kita akan jadi seperti Libya selepas pemimpin mereka Muammar Gaddafi digulingkan dengan bantuan Amerika (pada 2011),” kata Ibrahim kepada lebih 40 pemimpin Rukun Tetangga tempatan pada sesi “Sembang Santai Bersama Pemimpin” sempena minggu perpaduan kebangsaan.
Walaupun Gaddafi mentadbir Libya dengan baik, beliau digulingkan oleh rakyat dan dibunuh, kata ketua BTN, yang merupakan sebuah biro awam yang menjalankan latihan patriotisme kepada penjawat awam, pekerja badan berkanun dan penuntut di universiti awam.
Beliau memberi amaran kepada pemimpin komuniti bahawa Malaysia boleh menanggung derita yang sama dan Putrajaya boleh “terbakar”. Ketika berucap, Ibrahim turut menunjukkan gambar negara Libya yang musnah serta gambar Gaddafi.
Pada sesi yang berlangsung selama sejam itu, Ibrahim turut menunjukkan contoh dan statistik kekayaan Malaysia dan berkata dakwaan negara bankrap adalah tidak benar sebagaimana yang didakwa oleh Pakatan Harapan.
“Lihat ramai yang melancong ke luar negara dan beratur untuk mendapatkan telefon bimbit di Kuala Lumpur dan (membeli-belah di) Ikea Tebrau. Adakah rakyat Malaysia dilihat miskin?
“Sebab itulah kerajaan perlu meluluskan undang-undang Anti Berita Tidak Benar untuk membanteras berita palsu di media sosial,” kata Ibrahim.
Selepas pembentangannya, penyandang kerusi Muar dari Barisan Nasional Razali Ibrahim dan Adun Maharani Ashari Md Sarip turut menyampaikan pesanannya kepada pemimpin tempatan.
Razali akan berdepan pertandingan tiga penjuru di Muar menentang calon Pakatan Harapan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga ketua pemuda Bersatu dan seorang lagi calon dari PAS, Abdul Aziz Taib. – 29 April, 2018.
Komen