PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Hashim Abdullah mengungguli “carta tak tahu malu” dikeluarkan Bersih dalam usaha badan pendesak perubahan pilihan raya itu untuk menamakan dan memalukan amalan pilihan raya yang tidak adil.
Pengerusi SPR itu menerima “anugerah” itu kerana mengabaikan “ratusan aduan” tentang daftar pemilih dan mengeluarkan “sekatan meragukan dalam tempoh berkempen” beberapa hari sebelum penamaan calon yang menjejaskan parti pembangkang.
Senarai dikeluarkan Bersih diberikan nama “GE14 Hall of Shame” itu berdasarkan laporan berita yang disahkan mengenai pilihan raya umum yang berlangsung kini melibatkan ahli politik semua pihak bertanding.
Sehingga 26 April, antara mereka yang disenaraikan ialah:
-Calon Barisan Nasional untuk Hulu Selangor, P. Kamalanathan kerana “memberikan pengundi makanan, barangan dapur dan minyak”.
-Afif Bahardin daripada PKR di Pulau Pinang, yang menggunakan program negeri untuk memberikan bantuan.
-Musa Aman daripada Umno yang memberikan 155 motosikal kepada usahawan di Sandakan, Sabah.
-Noh Omar yang merupakan ketua Umno Selangor yang menggunakan sumber Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempat untuk mengadakan majlis berkempen di Gombak.
-Hamzah Zainuddin daripada Umno yang bertanding di Larut, kerana “berulang kali merasuah dan memberikan pengundi” wang tunai, minyak percuma dan barangan lain.
- Ahmad Yakob daripada PAS yang menggunakan jentera kerajaan negeri Kelantan untuk mengadakan majlis PAS.
Bersih memulakan senarai “GE14 Hall of Shame” untuk memantau tindakan semua pihak berkepentingan dan mengumumkan senarai baru setiap Jumaat sehingga 9 Mei nanti. Senarai penuh dimuat naik dalam laman sesawang organisasi itu.
“Bersih menggesa semua calon untuk berkempen mengenai manifesto dan dasar yang akan mereka laksanakan apabila mereka berkuasa, berbanding memberi rasuah, memberi habuan dan mengeluarkan ancaman bagi meraih sokongan pengundi,” katanya dalam satu kenyataan bersama senarai itu.
Pergerakan masyarakat sivil berpengaruh itu juga menggesa orang ramai melaporkan kesalahan pilihan raya seperti termaktub dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya kepada mereka. – 29 April, 2018.
Komen