SUDAH terang lagi bersuluh, Arul Kanda Kandasamy yang kini mengetuai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang mencari-cari pekerjaan baru.
Beliau berhasrat untuk menggantikan Azman Mokhtar selaku ketua Khazanah Nasional yang tempoh perkhidmatannya akan berakhir tahun hadapan. Beliau juga nampaknya tidak kisah jika dilantik sebagai senator dan berkhidmat sebagai menteri dalam Kabinet Najib Razak jika Barisan Nasional ditakdirkan menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Tidak ada salahnya untuk bercita-cita. Namun kita harus menolak usaha Arul Kanda menggunakan penipuan dalam menerangkan isu yang membelenggu syarikat pelaburan itu.
Semalam, di hadapan kira-kira 200 hadirin di Shah Alam dengan gaya selamba Arul Kanda menyifatkan kerugian ditanggung 1MDB sebagai lumrah perniagaan.
Tidak, ia tidak benar sama sekali.
Dari mula penubuhan 1MDB ia sebenarnya adalah suatu penipuan. Ia ditubuhkan sebagai tabung kekayaan berdaulat yang tujuannya untuk mendanai PRU13 dan membiayai kehidupan mewah Low Taek Jho dan rakan-rakannya.
Untuk berlaku adil kepada Arul Kanda, beliau tidak terlibat langsung sebelum ini, namun dibawa masuk untuk membersihkan 1MDB selepas pendedahan mengenai Jho Low dan pengurusan asal disingkirkan.
Tetapi Arul Kanda sendiri sebenarnya tahu mengenai kisah 1MDB, justeru amat menjijikan apabila beliau memutarbelitkan fakta semata-mata untuk menutup rompakan yang berlaku ke atas dana kerajaan.
Lebih menjijikan lagi apabila beliau cuba membersihkan nama Najib Razak dengan mengatakan perdana menteri sementara itu kononnya tidak terlibat dalam skandal 1MDB.
Najib bukannya tidak tahu mengenai apa yang sedang berlaku dalam 1MDB. Dia sebenarnya memainkan peranan penting bersama-sama rakannya Jho Low. Dia juga bekerja rapat dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama 1MDB Shahrol Halmi.
Jika Najib benar-benar suci seperti dikhabarkan Arul Kanda,mengapa sehingga kini dia tidak menyaman Wall Street Journal atau New York Times yang menamakan beliau sebagai watak utama dalam skandal 1MDB.
Lagipun, Arul Kanda sudah sekian waktu mempertahankan Jho Low, malah berkata yang ahli perniagaan dalam pelarian itu tidak diburu oleh negara-negara lain.
Benarkah?
Bilakah kali terakhir Jho Low menjejakkan kaki ke Singapura atau Amerika Syarikat?
Jika Arul Kanda merasakan yang memutarbelitkan fakta berhubung 1MDB ke serata negara sebagai bakti khidmat negara kepada BN dan Najib, baguslah.
Tetapi jangan sesekali tertipu, ia hanyalah cerita dongeng oleh tukang karut bernama Arul Kanda. – 29 April, 2018.
Komen