NAIB Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir ditahan polis di Ibu Pejabat parti itu pada 12.20 tengah hari di Kuala Lumpur hari ini kata Peguam Faiz Fadzil.
Faiz yang juga timbalan ketua Pemuda Amanah berkata, polis memaklumkan Shazni akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
“Anggota polis memaklumkan Shazni ditahan mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan dipercayai berkaitan aksi protes di bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 23 Mei lalu,” kata Faiz kepada The Malaysian Insight.
“Saya sudah meminta Biro Undang-undang Amanah untuk bersama-sama menguruskan tangkapan Shazni.”
Pada 23 Mei lalu, Pemuda Pakatan Harapan (PH) bertindak merantai pagar di depan ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai simbolik larangan terhadap penyerahan memorandum kepada Pengerusi SPR Hashim Abdullah.
Memorandum itu bertujuan menggesa badan bebas itu menarik semula larangan pengedaran salinan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) kepada parti politik.
Faiz berkata, polis seharusnya menemubual Shazni di Ibu Pejabat Amanah hari ini dan merakamkan percakapannya.
Bagaimanapun, kehadiran tiga anggota polis di Ibu Pejabat Amanah hari ini memaklumkan untuk menahan Shazni.
“Petang ini akan ada peguam Amanah ke balai Putrajaya untuk memberikan bantuan guaman kepada Shazni.
“Tidak sepatutnya Shazni ditahan kerana yang bersalah SPR, SPR tidak hormat undang-undang dan Perlembagaan apabila tidak memberikan RDPT kepada parti pembangkang,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa mengesahkan penahanan Shazni kepada The Malaysian Insight.
Pada 26 April, Setiausaha SPR Abdul Ghani Salleh mengeluarkan arahan pemberhentian pengedaran RDPT.
Ghani berkata SPR mengeluarkan arahan kepada pengarah pilihan raya negeri untuk pemberhentian pengedaran RDPT Suku Tahun kepada parti politik, dan semua pihak lain yang berkepentingan.
Berdasarkan kepada Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, urusan pameran RDPT dijalankan di tempat diwartakan sebagai tempat pameran selama 14 hari dengan mempamerkan senarai nama pemohon yang memohon mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih – memohon tukar alamat bahagian pilihan raya.
Ghani berkata keputusan itu dibuat memandangkan pameran RDPT memadai bagi membolehkan pihak berkepentingan memeriksa nama pemohon yang terbabit. – 9 Jun, 2017.
Komen