TOKYO telah menghantar perwakilan ke Moscow berikutan keputusan badan pemantau keselamatan pertanian Rusia, Rosselkhoznadzor, melarang import produk perikanan dan makanan laut dari Jepun, kata Ketua Setiausaha Kabinet Hirokazu Matsuno pada Selasa.
Beliau berkata Jepun turut meminta agar larangan sementara itu dibatalkan, lapor Sputnik.
“Keputusan unilateral Rusia yang tidak berasaskan data saintifik tidak boleh diterima. Pada 16 Oktober satu perwakilan telah dihantar ke Rusia melalui saluran diplomatik untuk meminta pembatalan sekatan import,” kata Matsuno.
Rosselkhoznadzor pada Isnin mengumumkan telah menyertai China dalam mengenakan larangan sementara terhadap import produk perikanan Jepun.
Ia sebagai langkah berjaga-jaga berikutan pelepasan air tercemar dari loji janakuasa nuklear Fukushima Jepun.
Matsuno berkata Tokyo telah menjelaskan keselamatan air yang telah dirawat dan produk akuatik Jepun kepada komuniti antarabangsa termasuk Rusia berdasarkan bukti saintifik.
Jepun mula membuang air sisa terawat dari loji Fukushima ke Lautan Pasifik selepas mencairkannya dengan air laut.
Bagaimanapun, tindakan Jepun itu mendapat tentangan daripada beberapa negara. – Bernama, 17 Oktober, 2023.
Komen