Penyunting buku didakwa hina jata negara direman sehari


Kalidevi Mogan Kumarappa

Penyunting buku 'Rebirth: Reform, Resistance, And Hope In New Malaysia' Kean Wong disiasat atas dakwaan menghina Jata Negara.–Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2023.

PENYUNTING buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ Kean Wong yang disiasat atas dakwaan menghina Jata Negara ditahan reman sehari, hari ini, kata peguamnya.

Peguam Ivan Teng Jun Hong berkata pihaknya difahamkan Wong boleh dibebaskan pada petang ini (17 Oktober).

“Polis yakin boleh melengkapkan siasatan dalam tempoh sehari.

“Pegawai penyiasat memberitahu saya bahawa Wong boleh dibebaskan pada petang hari ini (17 Oktober),” katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Katanya, polis memohon perintah reman atas tiga alasan iaitu untuk merakam kenyataan, pengumpulan data dari telefonnya untuk mendapatkan mesej dari tiga tahun lalu serta mendapatkan cap jari dan gambarnya.

“Secara realistiknya, perkara ini boleh dilakukan dalam tempoh dua hingga tiga jam.

“Polis telah meminta kami untuk bersiap sedia dengan wang jaminan sekiranya dia dibebaskan hari ini,” kata Teng.

Teng juga memberitahu pihaknya kini sedang menunggu pegawai penyiasat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Peguam Ivan Teng Jun Hong berkata proses siasatan secara realistiknya boleh dilakukan dalam tempoh dua hingga tiga jam. – 17 Oktober, 2023.

“Kami diberitahu bahawa SKMM telah dipanggil untuk proses pengumpulan data serta mendapatkan nama pengguna dan kata laluan yang berkaitan,” katanya.

Kean Wong ditahan di Pejabat Imigresen Kelana Jaya, pada Isnin, semasa hadir untuk memperbaharui pasportnya.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Rusdi Mohd Isa, mengesahkan penahanan Kean Wong.

“Betul, dia ditahan. Siasatan sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman,” katanya.

Sebaik ditahan, Kean Wong dilaporkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk dan siasatan lanjut mengikut Akta Hasutan 1948.

Pada 10 Julai 2020, Ketua Polis Negara ketika itu, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata polis sedang mengesan Kean Wong bagi membantu siasatan berhubung kontroversi kulit buku berkenaan.

Menurutnya, siasatan berhubung penerbitan buku itu dimulakan sejak 29 Jun 2020 susulan beberapa laporan polis diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negara.

Polis turut merakam keterangan beberapa individu termasuk pelukis, penerbit dan pencetak buku berkenaan.

Semasa siasatan dijalankan, Kean Wong dilaporkan berada di Australia dan pihak polis memaklumkan dia memegang status Pemastautin Tetap (PR) Australia sejak lebih 10 tahun lalu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – 17 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen