Tarikh penting PRK Kemaman dijangka diketahui hari ini


TARIKH-TARIKH penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu dijangka diketahui hari ini.

Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi tujuan itu dipengerusikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh di Menara SPR, Putrajaya bermula 10 pagi ini.

Abdul Ghani turut dijadual mengadakan sidang media sejurus selepas mesyuarat khas itu bagi  mengumumkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan.

Pada 26 September lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili PAS setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Rentetan itu, pada 3 Oktober lepas PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan. – Bernama, 17 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen