TINDAKAN PAS yang mengetuai Gagasan Sejahtera meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi Umno dan Barisan Nasional (BN) bukti tiada kerjasama antara dua parti itu, kata Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Hussin.
Abdullah berkata PAS Johor juga bertanding antara 70% hingga 80% kerusi yang bertembung dengan Umno dan BN.
“Tidak munasabah orang bagi kita RM90 juta untuk lawan dia, itu semua fitnah, nak bertanding pilihan raya bukan perkara main-main,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS Johor di Bandar Baru Uda, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak sebelum ini mendakwa pemimpin PAS menerima dana sebanyak RM90 juta daripada Umno untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dalam PRU kali ini, PAS Johor bertanding di 20 kerusi Parlimen dan 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Calon PAS bertembung dengan Umno di 11 kerusi Parlimen dan baki sembilan lagi kerusi berlawan pula dengan calon parti komponen BN dari MCA dan MIC.
Manakala di kerusi DUN, PAS akan berhadapan 31 kerusi yang ditandingi Umno dan 10 lagi kerusi ditandingi parti komponen BN.
“Kehadiran calon PAS Johor di kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi Umno dan BN juga menafikan momokan dan fitnah liar yang kononnya pihak PAS saling bekerjasama dan bersepakat dengan Umno dan BN,” katanya.
Abdullah yang juga calon Gagasan Sejahtera di Parlimen Tebrau dan DUN Puteri Wangsa turut menyeru pengundi atas pagar yang masih was-was dan sangsi dengan hala tuju PAS untuk mendekati calon dan jentera mereka bagi mendapatkan maklumat yang tepat.
“Kepada pihak lawan, ketahuilah sesungguhnya kami berada di gelanggang, kami bersedia dan kami tidak gentar,” katanya. – 29 April, 2018.
Komen