MESKIPUN hanya mewakili kerusi Parlimen Setiawangsa selama sepenggal, tetapi nama Ahmad Fauzi Zahari sering disebut-sebut oleh penduduk setempat Setiawangsa sebagai wakil rakyat “berjiwa rakyat.”
Seorang pesara, Abdul Wahab Aynun, 69, berkata beliau lebih mudah berhubung dengan Ahmad Fauzi walaupun calon penggantinya kini, Zulhasnan Rafique merupakan bekas ahli Parlimen kawasan tersebut.
“Saya tak ada (berhubung) sangat dengan Zulhasnan tetapi Ahmad Fauzi selalu turun padang. Kalau datang jemput apa-apa majlis di sini dia akan datang. Kita boleh cakap secara terus dengan dia… mesra rakyat.
“Kalau Zulhasnan saya tak pernah bersemuka dengan dia, bersalaman pun tak pernah. Dia macam orang kelas tinggi. Susah nak jumpa. Kena ada perantaraan kalau nak jumpa dengan dia. Dia ni macam golongan aristokrat,” katanya.
Tambah penduduk di Projek Perumahan Rakyat Sri Semarak itu, Ahmad Fauzi tidak pilih bulu dalam memberi bantuan kepada rakyat – walaupun mereka merupakan penyokong pembangkang.
Salah seorang penduduk di Taman Setiawangsa, A. Subramaniam, 64, juga senada dengan Abdul Wahab mengenai perbandingan dua pemimpin BN Setiawangsa ini.
“Kami sebenarnya sangat gembira dengan perkembangan di sini (Setiawangsa). Penduduk di sini juga tak banyak masalah dengan isu tempatan di sini.
“Ahmad Fauzi telah melakukan yang terbaik (di kawasan ini). Saya agak sedih kerana dia tidak bertanding di sini kali ini. Dia telah lakukan yang terbaik, kenapa nak tukar (calon)?” katanya.
Subramaniam yang telah menetap di situ selama 20 tahun menambah, Ahmad Fauzi sangat aktif dengan program rakyat di situ dan akan hadir ke mana-mana program anjuran penduduk setempat.
Zulhasnan pada 2004 menang selesa apabila mengalahkan Abdul Rashid Hassan Basri dari PAS dengan majoriti 19,669 undi.
Bagaimanapun, jumlah undi majoriti itu merosot lebih separuh kepada 8,134 pada 2008 dan merosot lagi ketika kepada 1,390 undi ketika Ahmad Fauzi bertanding pada PRU13. – 29 April, 2018.
Komen