DR S Streram Sinnamy dari PKR berkata beliau telah diberi kelonggaran oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menyebabkan beliau tidak mempunyai pas lalu dihalang daripada menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan semalam.
Menurut Streram, beliau dimaklumkan bahawa pas itu boleh diambil sebelum proses penamaan calon bermula.
“Seorang rakan memaklumkan pada jam 5 petang sehari sebelumnya bahawa kami memerlukan pas,” kata beliau ketika dihubungi.
“Semasa saya ke pejabat daerah Rembau pada jam 6.45 petang, pejabat sudah tutup. Dan seorang pekerja memberitahu saya yang saya boleh dapatkan pas pada awal pagi esoknya, jadi sebab itu kami pergi pada jam 8 pagi.”
Pada jam 9.42 pagi pada hari penamaan calon, dua pegawai SPR memberi jaminan kepada Streram bahawa perkara itu akan diselesaikan dan kemudian meninggalkannya. Kemudian, pada jam 9.45 beliau cuba untuk memasuki ke dalam pusat penamaan calon tetapi dihalang pegawai polis.
Streram berkata beliau cuba menyerahkan borang pencalonan melaui perantara tetapi mereka juga tidak mahu masuk ke pusat pencalonan kerana tidak mempunyai pas.
Proses pencalonan berakhir pada jam 10 pagi dan menteri besar sementara Mohamad Hassan kemudiannya diisytiharkan menang tanpa bertanding sejam kemudian.
Pakar bius berusia 62 tahun itu semalam membuat laporan polis dan berkata akan menyaman SPR.
“Saya mahukan pilihan raya kecil. Saya mahu bertanding melawan menteri besar Mohamad Hassan. Ini kemenangan tidak sah,” kata beliau, mengulas kemenangan tanpa bertanding Mohamad semalam.
“SPR tak kata pas adalah satu keperluan. Di kawasan lain seperti Teratai dan Kemas, calon yang tiada pas dibenarkan masuk. Ini double standard,” katanya.
Streram berkata presiden PKR telah bercakap dengan beliau dan kepimpinan parti menyokong beliau untuk mengambil tindakan undang-undang.
Beliau membuat laporan polis pada jam 3 petang semalam.
“Ini adalah tindakan manipulasi oleh SPR, polis dan pegawai pengurus pilihan raya yang menghalang perjalanan proses pencalonan secara demokratik.” – 29 April, 2018.
Komen