Umno cuba kekang kemarahan ahli di Sepanggar


The Malaysian Insight

UMNO cuba mengawal kemungkinan berlaku khianat oleh ahli-ahlinya di Sepanggar selepas Jumat Idris, bekas wakil rakyatnya yang juga ketua bahagian, digantikan dengan Abdul Rahman Dahlan bertanding di kerusi Parlimen.

Jumat bagaimanapun dalam sebuah majlis di Sepanggar malam ini dijangka akan menyatakan ikrar taat setia kepada Umno dan menyokong pencalonan Abdul Rahman.

Bendahari Umno, Salleh Said Keruak yang dicalonkan mengambil tempat Abdul Rahman di kerusi Parlimen Kota Belud, dijadual hadir pada majlis tersebut. Kehadiran Salleh dimaklumkan kepada media oleh pegawainya.

Keputusan BN mencalonkan Abdul Rahman di Sepanggar tidak disenangi oleh pemimpin dan ahli Umno di bahagian itu. Tujuh ahli jawatankuasa Umno Bahagian Sepanggar kemudian bertindak letak jawatan dan selepas itu menyertai Parti Warisan Sabah bersama 150 ahli Umno pada 12 April lalu.

Jumat dalam reaksinya sebelum ini menafikan beliau dalang di belakang tindakan ahli-ahli Umno itu menyokong Warisan. Beliau yang digantung dari Umno selama tiga tahun sejak 2015 sebelum ini berkhidmat sebagai ahli parlimen Bebas yang menyokong BN.

Abdul Rahman ditentang oleh Ketua Pemuda Warisan, Abdul Aziz Jamman serta dua calon lain iaitu Jeffrey Kumin dari SAPP dan Robert Sopining dari Parti Cinta Sabah (PCS).

Pada PRU13, Jumat mengalah Jeffrey yang ketika itu bertanding atas tiket DAP serta dua calon lain dengan kelebihan 9,442 undi. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen