KETUA 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy memberitahu penduduk perumahan kos rendah di Shah Alam yang kerugian berbilion dolar syarikat itu dijadikan modal pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.
Dalam kemunculan pertama daripada lima yang dirancangnya bagi mempertahankan 1MDB itu, Arul Kanda menegaskan yang perdana menteri sementara Najib Razak bukan pihak yang menyebabkan syarikat pelaburan itu rugi, sambil menambah isu 1MDB hanyalah “hal perniagaan”.
Pembangkang, dakwanya, menggunakan kerugian syarikat tersebut sebagai modal untuk menyerang Najib dan kerajaan.
“Agenda mereka adalah untuk mempolitikkan hal perniagaan, supaya mereka boleh gulingkan kerajaan yang dipilih oleh anda, tuan-tuan dan puan-puan, dengan cara adil dan demokratik,” katanya di hadapan kira-kira 200 hadirin malam semalam.
Arul Kanda menjelaskan Najib adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB sebelum 2016, tetapi tiada kuasa untuk membuat keputusan, dan sebaliknya dibuat pihak pengurusan tertinggi.
Arul Kanda turut menepis dakwaan Pakatan Harapan (PH) yang negara mengalami kerugian akibat hutang 1MDB.
“Kami tidak perlukan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) untuk bayar hutang! Kenaikan kos sara hidup bukan disebabkan oleh 1MDB! Nilai ringgit juga tidak ada kena-mengena dengan 1MDB,” tegasnya.
“Aset syarikat (1MDB) dinilaikan berjumlah RM43 bilion. Dan hutang berjumlah RM31 bilion. Jadi ada aset yang cukup untuk bayar (hutang).”
“Saya lihat wajah anda sedih dan murah. Jangan bersedih… Syarikat ini mungkin mengalami waktu-waktu sukar, tetapi jangan lupa yang ia telah banyak berjasa,” kata Arul Kanda, merujuk RM690 juta yang dibelanjakan 1MDB untuk program kebajikan masyarakat dan kesihatan.
Turut hadir adalah pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Lokman Noor Adam, dan juga calon Umno Jumaeah Masdi dan Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop, masing-masing bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan Batu Tiga.
Untuk 10 hari akan datang, Arul Kanda akan menerangkan mengenai isu 1MDB dalam lima ceramah termasuk di Kota Baru, Kelantan; Sungai Siput dan Parit Buntar, Perak; dan George Town, Pulau Pinang. – 29 April, 2018.
Komen